Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Tokoh Psikiatri Negara Dr Mahadevan Meninggal Dunia Pada Usia 96 Tahun

16/06/2026 08:08 PM

 KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Tokoh psikiatri negara, Tan Sri Dr M. Mahadevan, meninggal dunia pada usia 96 tahun akibat komplikasi jantung dan paru-paru.

Menurut penjaganya, Thenagaran, Dr Mahadevan menghembuskan nafas terakhir di sisi ahli keluarga di kediamannya di Ukay Heights, Ampang, pada kira-kira 7.45 malam semalam.

Beliau berkata mendiang sebelum ini menerima rawatan di sebuah pusat perubatan swasta di Ampang sejak sebulan lalu berikutan masalah lemah jantung dan jangkitan paru-paru.

Ad Banner
Ad Banner

"Mendiang telah lama uzur dan pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Selepas keadaan kesihatannya semakin merosot, beliau meminta untuk dibawa pulang ke rumah," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Thenagaran berkata orang ramai yang ingin memberikan penghormatan terakhir boleh berbuat demikian di kediaman keluarga di No. 32, Lorong Lee Hin Neo 1, Ukay Heights dari 10 pagi hingga 1 tengah hari serta 3 petang hingga 6 petang hari ini dan esok.

Beliau berkata upacara pengebumian akan berlangsung pada Khamis bermula 9.30 pagi di lokasi sama sebelum jenazah mendiang dibawa ke Krematorium Hindu Sentul pada 12 tengah hari.

Dr Mahadevan yang dikenali sebagai 'Bapa Psikiatri Moden' Malaysia meninggalkan legasi besar dalam pembangunan sistem kesihatan mental negara sepanjang lebih enam dekad penglibatannya dalam bidang berkenaan.

Mendiang merupakan pengasas dan Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) serta pernah berkhidmat sebagai Ketua Pakar Psikiatri kerajaan pada sekitar 1980-an.

Dr Mahadevan yang dilahirkan pada 9 Sept 1929, mendapat pendidikan awal di St John's Institution, Kuala Lumpur sebelum menamatkan pengajian perubatan di Bangalore, India pada 1961 dan seterusnya berkhidmat di University College Dublin, Ireland.

Sumbangan beliau dalam bidang psikiatri, khususnya berkaitan hipnosis, mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila Universiti Harvard menamakan satu program biasiswa bersempena namanya.

Beliau juga merupakan rakyat Malaysia pertama dilantik sebagai Presiden Cawangan Asia International College of Psychosomatic Medicine dan kembali ke tanah air pada 1967 atas permintaan perdana menteri ketika itu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj untuk membangunkan sistem penjagaan kesihatan mental negara selain menjadi pengarah pertama Hospital Mental Pusat yang kemudiannya dikenali sebagai Hospital Bahagia Ulu Kinta.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan