KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan pingat kepada 124 penerima sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda pada 23 Mac lepas.
Majlis pengurniaan itu disempurnakan oleh Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail pada Majlis Darjah dan Pingat bagi daerah Muar, Tangkak dan Segamat yang berlangsung di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar, Johor pada hari ini.
Menurut hantaran di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, sebanyak 29 individu menerima Pingat Lama dan Baik Dalam Perkhidmatan (PLP), manakala 19 dikurniakan Pingat Jasa Dan Lama Dalam Pekerjaan (PJP).
Turut dikurniakan adalah Pingat Sultan Ibrahim Pangkat Kedua kepada 60 penerima dan Pingat Sultan Ibrahim Pangkat Ketiga kepada 16 individu.
Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Kadi Daerah Muar Mohd Nasri Rahman sebelum diteruskan dengan sembah ucapan taat setia oleh Pegawai Daerah Muar Zainal Eran yang diiringi Pegawai Daerah Tangkak Ungku Suzana Ungku Mohammad dan Pegawai Daerah Segamat Mohd Ezzuddin Sanusi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial