KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Kos implikasi dan beban ekonomi akibat masalah kesihatan mental di Malaysia dianggarkan boleh mencecah RM25.3 bilion menjelang 2030 sekiranya tiada tindakan intervensi berkesan diambil bagi menangani kemelut berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan Parlimen Suhaizan Kaiat berkata lonjakan unjuran impak kewangan itu membuktikan isu tersebut bukan lagi sekadar masalah klinikal, sebaliknya memberi kesan langsung kepada produktiviti dan sosioekonomi negara.
“Jawatankuasa dimaklumkan bahawa beban ekonomi masalah kesihatan mental di Malaysia dianggarkan boleh mencecah RM25.3 bilion pada 2030, sekiranya tiada tindakan berkesan diambil. Angka ini menunjukkan bahawa kesihatan mental bukan sahaja isu rawatan, tapi juga isu ekonomi, produktiviti, dan masa depan negara yang kita cintai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kenyataan penerangan berhubung Penyata DR.4 2026 mengenai Pengukuhan Sistem Kesihatan Mental di Malaysia di Dewan Rakyat, hari ini.
Suhaizan yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata data terbaru mengenai aliran peningkatan kes kemurungan menunjukkan angka membimbangkan dalam kalangan penduduk dewasa di negara ini.
“Kadar kemurungan dalam kalangan penduduk Malaysia berumur 16 tahun ke atas meningkat daripada 2.3 peratus pada 2019 kepada 4.6 peratus pada 2023 bersamaan kira-kira 1 juta orang telah terkesan dengan isu kesihatan mental ini,” katanya.
Menurutnya, golongan kanak-kanak serta remaja turut mencatatkan trend peningkatan status kes yang kritikal bagi tempoh masa sama.
“Dalam kalangan kanak-kanak pula, masalah kesihatan mental meningkat daripada 7.9 peratus kepada 16.5 peratus bagi tempoh sama. Bagi remaja berumur 13 hingga 17 tahun pula, satu daripada empat remaja mengalami kemurungan. Ini bukan sekadar angka, tapi gambaran tekanan sedang dihadapi generasi muda negara kita,” katanya.
Sehubungan dengan itu, Suhaizan berkata jawatankuasa mengemukakan 12 syor strategik menerusi pendekatan menyeluruh bagi merombak sistem sokongan sedia ada, merangkumi tiga aspek utama pengukuhan.
Bagi aspek intervensi kritikal dan tindakan segera, beliau menekankan keperluan memperluas kapasiti talian bantuan krisis, gerakan kempen antistigma berskala besar, serta kawalan ketat terhadap etika pelaporan media.
Sementara itu, Datuk Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) dalam sesi perbahasan penyata itu mencadangkan agar kerajaan mewujudkan sebuah pusat sehenti bagi memastikan bantuan dapat diselaraskan dan disalurkan dengan lebih berkesan berasaskan data serta keperluan yang tepat dengan kelayakan setiap keluarga.
“Bantuan tidak seharusnya terhad kepada kelompok B40 semata-mata, memandangkan segelintir besar golongan M40 turut berdepan dengan tekanan kewangan keluarga yang meruncing sehingga menyebabkan kumpulan itu sering tercicir daripada menerima perlindungan sewajarnya,” katanya.
Lim Lip Eng (PH-Kepong) pula mencadangkan supaya kementerian membentangkan pelan pelaksanaan yang mempunyai garis masa, serta petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas, selain mempercepat pengisian jawatan kritikal dan menambah tenaga kerja kesihatan mental mengikut keperluan daerah.
Beliau turut mencadangkan agar pengukuhan pengesanan awal di sekolah dan komuniti termasuk perluasan Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (Mentari) serta pasukan intervensi bagi gelandangan dan kumpulan rentan, di samping memastikan bantuan krisis serta rujukan kecemasan dapat berfungsi dengan pantas tanpa birokrasi yang melambatkan tindakan.
Senada dengan beliau, Teresa Kok (PH-Seputeh) pula mencadangkan penubuhan lebih banyak fasiliti penjagaan perantaraan, rumah jagaan komuniti serta pusat rehabilitasi psikiatri selain hospital, bagi mengurangkan kebergantungan pada institusi psikiatri.
Ahli Parlimen yang turut membahaskan penyata itu ialah RSN Rayer (PH-Jelutong), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang), Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun), Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa), Lee Chuan How (PH-Ipoh Timur), Datuk Awang Hashim (PN-Pendang), dan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial