Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Program Jelajah Ketua Menteri Perkukuh Sistem Penyampaian, Perkhidmatan PBT - Exco

25/06/2026 08:04 PM

MELAKA, 25 Jun (Bernama) -- Program Jelajah Ketua Menteri yang akan dilaksanakan bermula 5 Julai ini merupakan satu lagi platform terbaik untuk memperkukuh sistem penyampaian dan perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) terhadap rakyat di negeri ini. 

Timbalan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin berkata menerusi pendekatan itu, setiap masalah atau isu yang dihadapi rakyat di kawasan masing-masing dapat diselesaikan secara lebih cepat dan tuntas.

Justeru itu, beliau berharapkan kerjasama penuh serta sokongan daripada kesemua empat PBT iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dalam menjayakan setiap siri jelajah berkenaan demi keselesaan dan kesejahteraan rakyat.

Ad Banner
Ad Banner

"Selain program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang sedang dilaksanakan kerajaan negeri secara berperingkat di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka, program Jelajah Ketua Menteri yang bakal dilaksanakan juga dilihat akan memberi impak besar kepada rakyat dalam menyelesaikan setiap aduan dan keluhan mereka.

"Sehingga pelaksanaan WRUR siri ke-20 melibatkan DUN Rim yang sedang berlangsung, lebih 2,600 aduan daripada keseluruhan lebih 4,000 aduan yang diterima telah berjaya diselesaikan," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran MPHTJ Bulan Jun 2026 dan Taman Rekreasi Anjung Gapam yang turut dihadiri Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron.

Program Jelajah Ketua Menteri itu diselaraskan oleh Pejabat Ketua Menteri serta Bahagian Komunikasi Korporat.

Menerusi program itu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh akan turun ke dua kawasan DUN dalam tempoh sehari untuk melihat sendiri keadaan di lapangan, mendengar secara langsung isu dan keperluan rakyat, sekali gus menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan