PUTRAJAYA, 25 Jun (Bernama) -- Hampir 31 peratus atau 13,309 individu berjaya memperoleh pekerjaan semula hasil intervensi pasaran buruh yang dilaksanakan kerajaan, menurut Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) hari ini.
KESUMA dalam kenyataan memaklumkan keutamaan kerajaan bukan sahaja tertumpu kepada pemantauan dan pengurusan isu kehilangan pekerjaan, malah memastikan individu yang terjejas dapat kembali memperoleh pekerjaan melalui pelbagai intervensi pasaran buruh yang komprehensif dan berkesan.
Menurut KESUMA, jumlah itu berdasarkan statistik Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sehingga 12 Jun lepas.
“Jumlah itu adalah sebahagian daripada 62,644 penempatan pekerjaan yang berjaya direalisasikan melalui portal MYFutureJobs, sekali gus mencerminkan keberkesanan usaha padanan pekerjaan yang dilaksanakan.
“Fokus KESUMA adalah membantu rakyat kembali bekerja bukan sekadar merekodkan kehilangan pekerjaan,” menurut kenyataan itu.
KESUMA memaklumkan kebanyakan individu yang berjaya ditempatkan semula memperoleh pekerjaan dalam sektor perkhidmatan, diikuti pembuatan dan pembinaan, sekali gus mencerminkan permintaan tenaga kerja yang terus kukuh dalam sektor utama ekonomi negara.
Bagi meningkatkan kebolehpasaran dan daya saing tenaga kerja selaras dengan keperluan pasaran buruh semasa, PERKESO terus memperkukuh pelaksanaan program peningkatan kemahiran (upskilling) dan latihan semula (reskilling).
“(Ia dilaksanakan) bagi membantu pencari kerja memperoleh kemahiran baharu yang relevan dengan kehendak industri,” menurut kenyataan itu.
Sehingga kini, KESUMA memaklumkan sebanyak 2,697 Orang Berinsurans telah diluluskan permohonan untuk mengikuti program peningkatan kemahiran dan latihan semula yang ditawarkan.
“Majoriti peserta telah mengikuti kursus dalam bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi, diikuti program berkaitan sektor Perdagangan Borong dan Runcit serta pensijilan kemahiran yang memenuhi keperluan industri pembuatan.
“Pencapaian itu membuktikan keberkesanan pelbagai inisiatif yang diterajui KESUMA melalui agensi-agensinya dalam memastikan individu yang terjejas dapat kembali menjana pendapatan dan meneruskan kehidupan mereka.
“Selain program peningkatan kemahiran dan latihan semula, PERKESO turut menyediakan perkhidmatan padanan pekerjaan menerusi platform MYFutureJobs, khidmat kaunseling kerjaya, bantuan mobiliti pekerjaan serta perlindungan sosial di bawah Sistem Insurans Pekerjaan,” menurut kenyataan itu.
KESUMA terus memperkukuh kebolehpasaran tenaga kerja negara melalui pelbagai program pembangunan bakat dan kemahiran yang diterajui oleh PERKESO, HRD Corp, TalentCorp, Jabatan Pembangunan Kemahiran dan Jabatan Tenaga Manusia, selaras dengan keperluan industri dan perubahan ekonomi semasa.
“Pelaksanaan pelbagai inisiatif kerajaan termasuk Pakej Daya Tahan Ekonomi 2026 turut membantu memperluaskan peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran tenaga kerja dan mempercepatkan penempatan semula pekerja yang terkesan.
“KESUMA akan terus memantau perkembangan pasaran buruh secara proaktif serta bekerjasama rapat dengan majikan, industri dan rakan strategik bagi memastikan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti diwujudkan untuk rakyat,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial