Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Perak Perkasa TVET Bantu Anak Muda Rebut Peluang Ekonomi Baharu - Saarani

25/06/2026 09:39 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak akan terus memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan anak muda di negeri itu bersedia merebut peluang pekerjaan serta keusahawanan yang diwujudkan menerusi pembangunan beberapa kawasan pertumbuhan ekonomi utama.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pembangunan modal insan perlu bergerak seiring dengan hala tuju ekonomi negeri bagi memastikan anak Perak mempunyai kemahiran dan usahawan tempatan berupaya mengambil peluang daripada pertumbuhan ekonomi berkenaan.

“Saya mahu anak muda melihat TVET bukan semata-mata sebagai laluan mendapatkan pekerjaan tetapi asas membina masa depan.

Ad Banner
Ad Banner

“Seorang anak muda yang mahir dalam bidang makanan, automotif, teknologi digital, kejuruteraan atau industri kreatif sebenarnya mempunyai asas untuk menjadi seorang usahawan,” katanya ketika berucap merasmikan program PERAK Gen Showcase 2026 di Medan MARA di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pengarah MARA Datuk Zulfikri Osman.

Saarani berkata menerusi Pelan Perak Sejahtera 2030, kerajaan negeri memberi penekanan kepada pembangunan modal insan, Koridor TVET dan penciptaan peluang ekonomi berkualiti untuk rakyat Perak.

Beliau berkata Perak sedang membina asas ekonomi masa hadapan melalui beberapa kawasan pertumbuhan utama, termasuk Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjong Malim, Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC), Taman Industri Halal Perak, Taman Teknologi Silver Valley dan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian.

Saarani berkata LuMIC dijangka menarik pelaburan bernilai RM72 bilion dalam tempoh 25 tahun dan mewujudkan kira-kira 50,000 peluang pekerjaan manakala Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian pula berupaya menyediakan tidak kurang 30,000 peluang pekerjaan kepada mereka yang memiliki kemahiran TVET.

“Kami tidak mahu anak Perak menjadi penonton kepada pembangunan yang berlaku di negeri sendiri. Kami mahu mereka menjadi pemain, menjadi penyumbang dan menjadi sebahagian daripada cerita kejayaan baharu Perak,” katanya.

Sementara itu, Saarani berkata sektor pelancongan turut membuka ruang luas kepada usahawan apabila Perak mencatatkan peningkatan kedatangan pelancong domestik bermalam kepada 10.4 juta orang pada 2025 berbanding 10.2 juta orang pada 2024, selain merekodkan 23.6 juta pelawat domestik tahun lepas.

Beliau berkata setiap kehadiran pelancong membawa potensi ekonomi kepada rakyat, termasuk dalam sektor makanan tempatan, produk komuniti, inap desa serta pelbagai produk pelancongan.

Terdahulu, Saarani berkata PERAK Gen Showcase 2026 yang berlangsung selama empat hari bermula semalam menghimpunkan 75 reruai melibatkan sektor makanan dan minuman, gaya hidup serta pelancongan dengan sasaran nilai jualan RM1 juta menerusi kehadiran 10,000 pengunjung.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan