Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

JBPM Kenal Pasti Keperluan Bina 81 Balai Bomba Baharu

29/06/2026 05:30 PM

MELAKA, 29 Jun (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenal pasti keperluan membina 81 balai bomba dan penyelamat (BBP) baharu di seluruh negara berdasarkan penilaian risiko kebakaran bagi memperkukuh kesiapsiagaan dan kecekapan penyampaian perkhidmatan kebombaan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Nor Hisham Mohamad berkata ketika ini JBPM mengoperasikan 344 BBP di seluruh negara, manakala 15 BBP lagi sedang dalam pembinaan dan dijangka siap berperingkat dalam tempoh antara satu hingga empat tahun bergantung kepada kompleksiti projek berkenaan.

Beliau berkata penentuan keperluan pembinaan balai baharu dibuat berdasarkan analisis risiko kebakaran bagi setiap kawasan seluas 100 kilometer persegi bagi memastikan operasi kebombaan dapat dilaksanakan secara optimum.

Ad Banner
Ad Banner

"Daripada 81 cadangan BBP baharu itu, empat dicadangkan untuk dimasukkan di bawah Rolling Plan Kedua (RP2) Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) manakala baki 77 masih dalam senarai keutamaan, tertakluk kepada kemampuan kewangan serta kepraktisan pelaksanaannya," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian BBP Cheng yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk Dr M Noor Azman Taib.

Nor Hisham berkata keperluan pembinaan balai bomba akan sentiasa dinilai semula secara dinamik mengikut perkembangan pembangunan di setiap negeri, termasuk pembukaan kawasan industri baharu dan pembangunan berorientasikan transit (TOD), yang berpotensi meningkatkan risiko kebakaran.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata pihaknya akan mengiklankan 522 kekosongan jawatan tahun ini susulan kelulusan mengisi 560 kekosongan jawatan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan (MOF).

Beliau berkata daripada jumlah itu sebanyak 38 jawatan akan diisi menerusi senarai simpanan sedia ada bagi jawatan kanan, manakala baki 522 jawatan akan diiklankan tahun ini.

"Pengambilan dibuat menggunakan bank calon Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bagi membolehkan pengisian dilaksanakan pada awal tahun depan.

"Kelulusan ini bagi tujuan penggantian kekosongan sedia ada di seluruh negara. Pada masa ini, JBPM mempunyai lebih kurang 1,900 kekosongan jawatan yang perlu diisi," katanya.

-- BERNAMA  

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan