Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Penternak Rugi RM150,000, Ikan Mati Akibat Air Surut

30/06/2026 04:24 PM

KUALA TERENGGANU, 30 Jun (Bernama) -- Seorang penternak ikan sungai dalam sangkar di Kampung Beladau Kepong di sini, kerugian kira-kira RM150,000 selepas lebih 20,000 ekor ikan baung mati akibat fenomena air surut Ahad lepas.

Mohd Muhafizi Mustafa, 38, berkata kejadian itu disedarinya ketika ingin memberi makanan kepada ikan ternakan.

“Hasil rakaman daripada kamera litar tertutup, pada awal pagi Ahad itu didapati air sungai di kawasan terbabit surut sehingga timbul beting pasir dan tiada arus menyebabkan kesemua ikan baung di 10 sangkar yang saya ternak mati.

Ad Banner
Ad Banner

“Kesemua ikan yang mati berusia lebih setahun dan berat antara 400 gram hingga satu kilogram. Lebih menyedihkan ikan-ikan tersebut sudah boleh dipasarkan,” katanya ketika ditemui Bernama di kawasan kolam ternakan ikannya di Kampung Beladau Kepong, di sini hari ini.

Mohd Muhafizi berkata ikan tersebut biasanya dijual pada harga borong sekitar RM15 sekilogram bagi pasaran di seluruh Terengganu termasuk kepada pengusaha restoran.

Mengusahakan keseluruhan 84 sangkar ikan sungai termasuk ikan patin dan tilapia merah, beliau berkata kejadian itu adalah yang terburuk pernah dialaminya sejak menguruskan ternakan ikan sangkar itu pada 2008.

“Malah ayah saya (Mustafa Ahmad, 72) yang memulakan ternakan ikan sangkar di sini pada 2000 pun tidak pernah mengalami kejadian seperti ini. Sebelum ini memang pernah berlaku kejadian ikan mati mengejut tetapi hanya melibatkan jumlah kecil dan pada musim banjir,” katanya.

Mohd Muhafizi berkata kejadian tersebut dipercayai berlaku berikutan pasir dan lumpur yang semakin banyak terkumpul di kawasan sangkar ternakannya akibat banjir sejak 2022. 

Justeru beliau berharap tindakan segera dapat diambil pihak berkaitan seperti menjalankan segera kerja-kerja pengorekan pasir dan lumpur di kawasan terbabit bagi memastikan kejadian yang sama tidak berulang atau berlarutan ke sangkar ikan milik penternak lain. 

Sementara itu, wakil Pejabat Perikanan Daerah Kuala Terengganu, Mohammad Firdaus Abdillah berkata pihaknya menerima laporan berkaitan insiden tersebut pada malam Ahad.

Beliau berkata hasil pemeriksaan, pihaknya mendapati kejadian berpunca daripada kekurangan oksigen terlarut di dalam air yang terjadi akibat ketiadaan arus, sehingga menyebabkan ikan-ikan ternakan kelemasan.

“Berdasarkan pemeriksaan pihak kami, bacaan kandungan oksigen terlarut pada air sungai di kawasan terjejas ialah 0.51 mg/L (miligram seliter) dan keadaan itu tidak mampu untuk menyokong kelangsungan hidup ikan. Bacaan oksigen terlarut dalam air yang sesuai bagi ternakan ikan mestilah melebihi 4 mg/L,” katanya.

Justeru Mohammad Firdaus berkata beliau telah menasihati Mohd Muhafizi untuk melupuskan kesemua ikan baung itu dengan cara menanam bagi mengelakkan pencemaran air dan risiko penularan penyakit. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan