BERITA COVID–19   Malaysia rekod kadar pengangguran terendah sejak krisis COVID-19 pada Jun 2022 | Sifar COVID-19 di Penjara Reman Pulau Pinang sejak Jun tahun lepas | Pemansuhan keperluan isi kad pengembara terpakai kepada warganegara, bukan warganegara - Dr Noor Hisham | Kes harian COVID-19 di Jepun pecah rekod | Vaksin COVID-19 Bangladesh dapat kelulusan untuk diuji pada manusia | 
BENCANA NEGARA

MyNAP perlu libatkan lebih banyak agensi, kementerian, komuniti

24/06/2022 09:46 AM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Pelan Adaptasi Kebangsaan (MyNAP) berkaitan impak perubahan iklim perlu melibatkan lebih banyak agensi antaranya Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) dan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri serta kerjasama kementerian agar dapat berfungsi secara holistik sekali gus mencapai hasrat dan matlamatnya.

Pensyarah Kanan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Mohd Yusoff Ishak berkata cadangan kerajaan untuk mewujudkan pelan ini seharusnya dibuat lebih awal memandangkan sebagai negara berpendapatan pertengahan atas, Malaysia dikatakan mengutamakan pembangunan ekonomi berbanding adaptasi perubahan iklim. 

"Pelan ini bagus walaupun sepatutnya telah lama kita ada... bagi rantau ASEAN, Malaysia dikatakan mengamalkan pendekatan ‘tunggu dan lihat’, walaupun telah ada polisi negara tentang perubahan iklim, namun polisi tersebut lebih tertumpu kepada mitigasi iaitu mengurangkan impak negatif perubahan iklim berbanding dengan adaptasi.

"Bencana dalam negara yang semakin kerap dipercayai telah mengubah pendirian kerajaan dan kini adalah masanya agar MyNAP diperhalusi semua pihak bagi mencapai hasrat dan matlamatnya," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan akan membangunkan MyNAP yang merangkumi pelan tindakan dan strategi jangka panjang serta strategi pembangunan kebangsaan untuk pelbagai sektor.

MyNAP seperti diumumkan Ismail Sabri meliputi sektor kesihatan awam, infrastruktur, keselamatan dan sumber air, pertanian serta perhutanan dan biodiversiti.

Mohd Yusoff berkata para saintis menjangkakan bencana banjir bakal melanda dengan lebih kerap dan berskala besar justeru negara memerlukan kos yang tinggi untuk pembinaan infrastruktur tahan bencana.

"Malaysia perlu realistik dan melihat kaedah pemindahan penduduk dari kawasan kerap banjir sebagai satu pelaburan dan bukan lagi suatu pilihan," katanya.

Beliau turut mencadangkan agar MyNAP perlu juga melihat kepada tahap kesediaan masyarakat dalam memahami impak perubahan iklim selain pelaksanaannya dipantau dengan rapi. 

"Ini kerana impak perubahan iklim tidak jelas di mata orang awam berbanding impak COVID-19. Kerajaan perlu ada satu rangka melibatkan mereka (masyarakat) sebagai contoh mereka turut serta dengan agensi penyelamat dalam menjalankan latihan bencana, kita perlu normalisasikan latihan bencana alam bagi menghadapi bencana.

"Tahap kesedaran (masyarakat) masih rendah, pengetahuan itu ada tetapi tindakan kurang. Contohnya kita masih mempunyai pemikiran seperti banjir berlaku di Pantai Timur atau menganggap bencana banjir ini hanya berlaku pada Disember sahaja tanpa membuat sebarang persediaan," katanya menambah kerajaan juga boleh mewujudkan Hari Bencana Negara bagi memberikan tumpuan khusus kepada isu perubahan iklim.

Mengenai cadangan penggunaan kenderaan elektrik (EV) dalam penganjuran acara-acara besar yang dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem kenderaan elektrik selain mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG), Mohd Yusoff berkata kemampuan negara untuk melaksanakan perkara ini bergantung kepada kepantasan dalam mewujudkan ekosistem dan sistem sokongan kepada EV.

“Ini termasuklah polisi jelas tentang pergerakan hijau serta dibantu oleh kewujudan sektor tenaga mahir dan separa mahir yang turut mengambil kira proses selepas guna EV hinggalah ke proses pelupusan EV secara keseluruhannya (circularity).

"Berdasarkan konsep kemampanan, penganjuran acara besar-besaran mungkin mempromosi penggunaan EV tetapi pada masa sama turut menjana pelepasan gas rumah hijau serta sisa berlebihan berbanding dengan kaedah penganjuran secara hybrid atau di beberapa lokasi secara serentak contohnya," katanya.

Menyuarakan perkara sama, Pengarah Pusat Pelestarian Alam Sekitar dan Sekuriti Air (IPASA) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Zainura Zainon Noor berkata untuk memastikan MyNAP ini bersifat menyeluruh dan dapat diimplementasikan secara efektif, penglibatan semua pemegang taruh seperti agensi kerajaan pusat, kerajaan negeri, pihak industri dan komuniti sangat penting.

"Ini bagi memastikan semua pihak dapat memberi input sesuai dalam satu platform sama dan pelaksanaannya nanti tidak bersifat sektorial. Ini juga bagi memastikan semua pihak cakna dengan rancangan kerajaan dan dapat memberikan komitmen sebaiknya di peringkat pelaksanaan nanti,” katanya.

Zainura berkata meskipun kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha dalam menghadapi perubahan iklim, namun masih banyak perlu dilaksanakan agar impak perubahan iklim seperti banjir tidak memberi kesan besar kepada penduduk seperti kehilangan nyawa dan kerugian harta benda pada masa akan datang.

"Ini termasuklah menghasilkan sistem amaran awal agar dapat menyalurkan amaran segera kepada penduduk terutamanya di kawasan mudah banjir dan pelan tindak balas kecemasan yang sentiasa ditambah baik mengambil kira pembangunan dan situasi semasa," katanya.

Mengenai galakan kerajaan agar negeri mengguna pakai Indeks Adaptasi Perubahan Iklim Malaysia bagi meningkatkan respons kepada impak perubahan iklim, Zainura berkata setakat ini masih banyak pihak tidak menyedari kepentingan malah kewujudan indeks ini dan bagaimana maklumat dibangunkan dapat digunakan bagi tujuan perancangan, pembangunan dan juga pengurusan bencana. 

Katanya, indeks ini bertujuan untuk dijadikan kayu pengukur untuk memberi gambaran semasa berdasarkan trend data (data-data terdahulu dan terkini) tentang tahap keterjejasan dan kesediaan dalam menghadapi perubahan iklim termasuk isu banjir.

“Indeks ini juga adalah bagi membantu kerajaan pusat dan juga kerajaan negeri untuk mengenal pasti perkara-perkara yang perlu dibuat penambahaikan seperti mana ditunjukkan hasil dapatan indeks dibuat berdasarkan kumulatif markah indikator tersenarai di dalamnya,” katanya.

-- BERNAMA


Bernama menyediakan sumber terkini maklumat berita sahih dan komprehensif kepada umum dan agensi media. Berita kami dipaparkan di laman web www.bernama.com ; siaran BERNAMA TV: Saluran Astro 502, Saluran unifi TV 631, Saluran MYTV 121 IFLIX; dan siaran Bernama Radio di frekuensi FM93.9 bagi Lembah Klang, Johor (FM107.5), Kota Kinabalu (FM107.9) and Kuching (FM100.9).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2022 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan