BENCANA NEGARA

PROJEK PLSB SUNGAI GOLOK FASA 2 AKAN DILAKSANAKAN DALAM TEMPOH TERDEKAT- MUSTAPA

14/08/2022 08:08 PM

KOTA BHARU, 14 Ogos (Bernama) -- Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok (KESBAN) fasa dua untuk menangani isu banjir di Kelantan akan mula dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, setakat ini kerajaan telah meluluskan peruntukan untuk melaksanakan projek berkenaan berjumlah RM879 juta.

Katanya, setakat ini pihaknya sedang menunggu proses lantikan kontraktor yang akan bertanggungjawab bagi melaksanakan projek berkenaan untuk mengelak berlaku bah besar jika musim tengkujuh tiba.

"Menerusi lawatan yang telah diadakan bersama dengan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bagi projek ini untuk fasa pertama, ia telah mencapai 81.26 peratus melibatkan Pengkalan Kubor ke Sungai Lanchang, Pasir Mas.

"Projek ini lebih cepat kira-kira 35 peratus daripada jadual sebenar membabitkan peruntukan sebanyak RM656 juta. Malah, mengikut perancangan ia dijangka siap pada April 2024 namun kita tidak menolak kemungkinan akan siap pada tahun 2023," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan bangunan guna sama Jabatan Persekutuan di Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan dekat Tunjung, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata bagi pelaksanaan projek berkenaan untuk fasa tiga ia masih dalam kajian KASA, walaupun secara prinsip telah dipersetujui bagi pelaksanaan itu namun belum diputuskan.

"Perkara ini akan diputuskan dalam tempoh terdekat. Apabila siap ketiga-tiga fasa ini, sebahagian besar banjir di Kelantan dapat ditangani," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai lawatan ke tapak bangunan guna sama Jabatan Persekutuan itu, Mustapa berkata status pembinaan bangunan berkenaan telah merekodkan sebanyak empat peratus lebih awal daripada jadual pembinaannya. 

"Projek pembinaan bangunan yang membabitkan kos sebanyak RM576 juta itu telah bermula pada Jun 2020 dan dijangka siap Julai 2024 yang mana mempunyai empat blok pejabat dengan ketinggian lapan tingkat.

"Bangunan ini akan dilengkapi dengan auditorium, dewan serbaguna, surau, medan selera, tadika dan taska, blok pengawal serta lot tempat letak kereta bertingkat yang akan menggantikan Wisma Persekutuan di Kota Bharu, Jalan Bayam," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan