BENCANA NEGARA

MOSTI GUNA TEKNOLOGI MYSA PERSEDIAAN HADAPI MUSIM BANJIR

04/10/2022 05:33 PM

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menggunakan teknologi yang dibangunkan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) bagi mengenal pasti lokaliti cenderung dilanda banjir sekali gus dapat membuat persiapan awal untuk berdepan dengan bencana itu.

Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba berkata antara teknologi angkasa yang dibangunkan dan dioperasikan oleh MYSA adalah Sistem Pengurusan Bencana Bersepadu (IDMS) dan Sistem Maklumat serta Logistik Banjir Monsun Berteraskan Imej Satelit (eBanjir).

“Teknologi angkasa khususnya satelit penderiaan jauh (remote sensing) berupaya mencerap dan menghasilkan imej dan maklumat muka bumi terkini yang amat berguna dalam membantu pengurusan bencana dengan lebih cepat, cekap dan berkesan,” katanya kepada media selepas pelancaran Minggu Angkasa Sedunia 2022 di ini, hari ini.

Beliau berkata, MYSA akan menerbangkan dron bagi memantau lokasi kejadian yang spesifik untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci bagi kawasan banjir.

Selain itu, MIMOS Berhad telah membangunkan Sistem Pengurusan Maklumat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (SRAB) bagi membantu pengumpulan data di pusat kawalan penyumbangan data awal bagi ramalan banjir dan amaran banjir kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Sistem SRAB Fasa satu ini meliputi tiga kawasan seperti Sungai Terengganu, Sungai Kelantan dan Sungai Pahang dan menggunakan tujuh teknologi yang dibangunkan oleh MIMOS,” tambahnya.

Pada masa sama, empat syarikat tempatan menunjuk minat dalam pembangunan tapak pelancaran roket di Malaysia.

“Negara kita bersesuaian untuk menjadi tapak pelancaran roket kerana kami berada di garisan khatulistiwa iaitu lebih dekat dan beban bayar (payload) yang lebih murah berbanding negara lain, jika ia dapat dilaksanakan,” kata Adham.

Adham berkata MOSTI akan melancarkan satelit penderiaan jauh ketiga pada 2025 dan berharap pembangunan tapak pelancaran roket mencapai sasaran pelancaran satelit itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan