BENCANA NEGARA

PENGURUSAN BANJIR DI JOHOR DISIFATKAN ANTARA YANG TERBAIK - AHMAD ZAHID

31/01/2023 07:35 PM

BATU PAHAT, 31 Jan (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini, menyifatkan pengurusan banjir di Johor antara yang terbaik dalam negara.

Beliau berkata kerajaan negeri yang dipimpin Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani, berjaya memobilisasikan agensi dan pasukan secara sistematik, di seluruh kawasan terjejas.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat turut berterima kasih kepada Southern Volunteers, yang berada di bawah naungan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Skuad Sayang Wanita UMNO, yang turut memobilisasikan tenaga sukarelawan di semua tempat.

“Di Johor, daripada segi pengurusan banjirnya adalah antara pengurusan yang terbaik. Saya ucapkan tahniah kepada Menteri Besar Johor, Setiausaha Kerajaan negeri, pegawai-pegawai daerah dan juga agensi-agensi yang menganggotai jawatankuasa pengurusan banjir daerah.

“Langkah-langkah proaktif ini cukup penting, sebab kita mesti melakukan kerja untuk bantu mangsa banjir ini tanpa mengira warna-warna politik yang berbeza, kita harus berikan layanan terbaik secara saksama,” kata beliau kepada pemberita selepas lawatan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Sri Medan, di sini, hari ini.

Turut bersama pada lawatan itu ialah Menteri Besar Johor dan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Justeru, beliau juga mahukan koordinasi demikian diteruskan terutama usaha-usaha memberikan bantuan serta aktiviti pascabanjir, seperti pencucian kawasan rumah, peralatan dapur dan sebagainya tidak lama lagi termasuk pemberian ‘water jet’.

Setakat 4 petang tadi, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir di negeri itu merekodkan seramai 1,525 orang di empat daerah, dengan Batu Pahat mencatatkan jumlah teramai iaitu 883 orang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan