BENCANA NEGARA

BSMM SABAH TAPIS, RAWAT AIR SUNGAI PAPAR UNTUK KEGUNAAN PENDUDUK

29/03/2024 12:22 PM

KOTA KINABALU, 28 Mac (Bernama) -- Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Sabah mengambil langkah proaktif memasang sistem penapis air sementara di Sungai Papar, dekat Kampung Mandalipau, untuk menapis dan merawat air sungai menjadi air bersih bagi kegunaan penduduk yang berdepan krisis bekalan air akibat kemarau.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana dan Perkhidmatan Ambulans BSMM Sabah Hairuddin Siramin berkata inisiatif memasang sistem penapis air sementara dikenali Air, Sanitasi dan Kebersihan (WASH) di sungai itu dijalankan sejak 22 Mac lepas.

Hairuddin yang juga koordinator projek itu berkata sistem berkenaan berupaya merawat 1,000 liter air dalam tempoh satu jam, atau secara purata menghasilkan kira-kira 8,000 hingga 10,000 liter air bersih sehari, untuk diagihkan kepada penduduk kampung di sekitar daerah terlibat.

Beliau berkata air Sungai Papar ditapis menggunakan sistem WASH itu akan melalui tiga peringkat penapisan, selain sampel air dihasilkan juga diambil oleh Jabatan Air Negeri Sabah untuk ujian kualiti bagi memastikan ia menepati piawaian ditetapkan serta dijamin selamat dan bersih untuk kegunaan penduduk.

“Saya berharap usaha ini akan dapat membantu dalam menyediakan bekalan air bersih di Papar dan ia sampai kepada masyarakat yang memerlukan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Pada 13 Mac, Jabatan Pengurusan Bencana Daerah Papar dalam kenyataan mengisytiharkan Papar, terletak kira-kira 38 kilometer dari Kota Kinabalu, sebagai kawasan bencana kemarau berikutan krisis bekalan air berada pada tahap kritikal akibat cuaca panas melanda kawasan tersebut.

Sementara itu, Ketua Pasukan WASH Azryan Ismail berkata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (PKOB) Papar turut berpuas hati dengan inisiatif dilaksanakan oleh pasukan BSMM kerana ia dapat membantu penduduk kampung terjejas kemarau mendapatkan bekalan air bersih.

Beliau berkata pihaknya menyediakan tiga tangki pengumpulan air masing-masing berkapasiti 1,000 liter; 1,500 liter; dan 5,000 liter yang boleh diambil oleh penduduk di tapak WASH berkenaan.

“Kami dijangka beroperasi di tapak WASH ini selama dua minggu sehingga 4 April depan, tetapi sekiranya masalah bekalan air (di Papar) belum selesai maka operasi mungkin akan diteruskan,” katanya, sambil menambah sebanyak tujuh sukarelawan ditugaskan secara bergilir-gilir bagi memastikan projek itu berjalan lancar.

Pegawai Daerah Papar Mohd Fuad Abdullah dalam kenyataan memaklumkan pasukan BSMM yang meneruskan inisiatif merawat air Sungai Papar-Mandalipau menerusi kaedah WASH itu berjaya menghasilkan 6,360 liter air untuk diagihkan kepada penduduk kampung, semalam.

“Selepas penelitian sampel air oleh Jabatan Air Daerah Papar, air yang dirawat itu disahkan menepati piawaian dan selamat untuk digunakan,” katanya.

Setakat ini, Mohd Fuad yang juga Pengerusi PKOB Papar berkata sebanyak 44 kampung, 37 sekolah, 19 taman perumahan dan lapan rumah ibadat di daerah itu terjejas akibat kemarau membabitkan 150,000 penduduk dengan operasi menghantar bekalan air bersih dijalankan di 18 lokaliti di daerah itu.

Beliau berkata Jabatan Air Daerah Papar turut melaporkan kerja-kerja pembaikan satu daripada pam yang rosak di Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon telah selesai semalam dan dengan ini, pengeluaran air dapat dikembalikan semula kepada jumlah maksimum 40 Juta Liter Sehari (JLH).

Februari lepas, satu daripada tiga pam di LRA itu didapati mengalami kerosakan sehingga menjejaskan jumlah pengeluaran air sebanyak lima JLH, dan kelewatan pembaikan adalah disebabkan alat ganti terpaksa ditempah dari luar negara, katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan