BENCANA NEGARA

BANJIR DI MELAKA: LEBIH 300 PETUGAS JKM SIAP SIAGA

18/04/2024 08:54 AM

MELAKA, 18 April (Bernama) -- Lebih 300 petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri diletakkan dalam keadaan siap siaga untuk berdepan situasi banjir di Melaka walaupun dalam tempoh sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Nordin berkata petugas jabatan itu akan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) bagi membantu mangsa banjir khususnya memastikan aspek kebajikan dan keselesaan mereka. 

"Petugas JKM Melaka antara yang pertama akan turun padang untuk membantu mangsa banjir walaupun sekarang ini masih dalam suasana berhari raya dan perkhidmatan yang diberikan juga adalah terbaik dalam apa jua situasi.

"Antara perkhidmatan ditawarkan JKM kepada mangsa banjir ialah sesi kaunseling bagi membantu meredakan emosi mereka yang terjejas harta benda dan penjagaan 24 jam di PPS terlibat," katanya kepada pemberita di Kompleks Japerun Pengkalan Batu di sini lewat malam tadi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pengkalan Batu berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri itu yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Kalsom berkata Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di kawasan terjejas banjir digesa memainkan peranan proaktif bagi memastikan mangsa mendapat bantuan yang disediakan kerajaan negeri seperti kit makanan dan bantuan kewangan.

Bagaimanapun katanya permohonan perlu mengikut prosedur ditetapkan untuk memudahkan penerimaan bantuan.

"Ada borang yang perlu diisi selain laporan polis berkaitan rumah mereka yang terjejas banjir dan gambar kejadian serta ia disahkan JPKKK atau Ketua Kampung kerana proses ini melibatkan kewangan," katanya.

Beberapa kawasan di tiga daerah di Melaka terjejas banjir kilat ekoran hujan lebat lebih dua jam dan beberapa PPS turut dibuka bermula Ahad lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan