COVID-19

Khidmat Hospital Permai rawat pesakit COVID-19 warga China dihargai

04/03/2020 08:46 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac -- Kedutaan China di sini menzahirkan ucapan penghargaan kepada Hospital Permai di Johor Bahru di atas bantuan dan kerjasamanya ketika memberi rawatan kepada pesakit COVID-19 dari China. 

Ucapan itu disampaikan menerusi sepucuk surat kepada hospital berkenaan oleh pihak kedutaan di Jalan Ampang di sini melalui pejabat konsulnya. Ia kemudiannya dikongsi oleh Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi laman Facebooknya.

“Hospital Permai telah memberikan bantuan perubatan yang sewajarnya kepada pesakit COVID-19 dan menunjukkan kemahiran yang luar biasa ketika merawat mereka,” menurut kenyataan itu.

Hasilnya, pesakit yang dirawat di hospital berkenaan sembuh dengan segera. 

“Selain itu, pasukan anda juga telah menunjukkan kemesraan dan keramahan rakyat Malaysia kepada pesakit dan keluarga mereka,” menurut surat itu lagi.

Pihak kedutaan juga memuji kakitangan hospital itu yang telah memberikan layanan mesra rakyat Malaysia kepada pesakit dan keluarga mereka. 

“Sekali lagi, pihak kedutaan mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Hospital Permai di atas sokongan yang tidak ternilai kepada warga China,” menurut surat itu yang turut menyatakan bahawa hospital terbabit turut berjuang bersama China melawan wabak COVID-19.

Dr Noor Hisham pula di Facebooknya itu turut menyampaikan penghargaan Kementerian Kesihatan Malaysia kepada pasukan barisan hadapan terhadap usaha dan pengorbanan mereka untuk meningkatkan tahap kesiapsiagaan dalam semua aspek sistem kesihatan Malaysia bagi menangani penyebaran COVID-19 secara holistik. 

Antara pesakit COVID-19 yang dirawat di Hospital Permai ialah pasangan dari China berumur 52 dan 49 tahun yang kini telah sembuh dan dibenarkan keluar hospital pada 18 Feb lepas.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan