COVID-19

COVID-19: SJMC ambil tindakan proaktif bendung penularan

05/03/2020 03:32 PM

KUALA LUMPUR, 4 Mac  -- Subang Jaya Medical Centre (SJMC) menutup sementara wad kecemasannya (ER) semalam bagi melaksanakan kerja pembersihan dan pembasmian kuman seluruh kawasan berikutan terdapat tiga kes COVID-19 dilaporkan di hospital itu.

Ramsay Sime Darby Health Care (RSDH) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan wad berkenaan dibuka semula pada 6 petang hari yang sama.

RSDH hari ini mengesahkan satu daripada hospitalnya, SJMC melaporkan tiga kes COVID-19. Dua kes pertama dirawat di jabatan kecemasan SJMC manakala kes ketiga merupakan kakitangan hospital yang mempunyai kontak dengan pesakit kedua di wad kecemasan.

“Dengan mematuhi piawaian antarabangsa, kami mempunyai langkah kawalan jangkitan yang terbaik untuk memastikan kami mengehadkan apa-apa risiko kepada kakitangan, doktor, pesakit dan pelawat, serta komuniti yang kami memberi khidmat," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RSDH Greg Brown.

Brown menjelaskan bahawa RSDH telah melaksanakan protokol keselamatan yang ketat bagi hospitalnya.

“Kami memberi jaminan kepada orang ramai bahawa kami mengambil semua langkah yang perlu untuk menyediakan persekitaran yang selamat untuk kakitangan, doktor, pesakit dan semua yang melalui pintu kami.

“Sebagai sebahagian daripada protokol keselamatan yang ketat, kami telah melaksanakan stesen saringan di semua pintu masuk hospital kami untuk memastikan semua pesakit dan pelawat disaring secara teliti mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan,” katanya dan memaklumkan bahawa hospital juga mengadakan kawasan khas di luar ER untuk menguruskan kes yang disyaki COVID-19.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan