COVID-19

Mekanik mengaku salah halang penjawat awam laksana Ops COVID-19

23/03/2020 12:36 PM

SUNGAI SIPUT, 23 Mac -- Seorang mekanik menjadi individu pertama didakwa kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas pemantauan Ops COVID-19, susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang dilaksanakan selama 14 hari mulai 18 Mac lepas. 

S. Punniamurthy, 33, mengaku bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norhabsarina Ayob di sini, hari ini. 

Berdasarkan kertas pertuduhan, Punniamurthy didakwa dengan sengaja menghalang seorang pegawai polis berpangkat DSP menjalankan tugas pemantauan, dengan enggan menunjukkan pengenalan diri di hadapan rumahnya di Persiaran Orkid 8, Taman Orkid, Sungai Siput (U) pada Jumaat lepas, selain menolak pegawai berkenaan ke tepi jalan.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum  RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya Jean Siow Chung Hwei memohon mahkamah mengenakan hukuman maksimum, untuk memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Peguam Kebangsaan Nurul Hanis Mohd Zaini yang mewakili tertuduh, memohon mahkamah  mengenakan hukuman minimum atas alasan tertuduh hanya memperoleh pendapatan sebanyak RM1,500 sebulan, perlu menjaga ibunya dan tidak pernah disabitkan kesalahan jenayah. 

Majistret Norhabsarina kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara 10 bulan jika gagal membayarnya. 

-- BERNAMA 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan