COVID-19

Barisan hadapan redah hutan tebal untuk pengesanan kontak di Sabah - KP Kesihatan

21/10/2020 10:55 PM

PUTRAJAYA, 21 Okt  -- Cabaran terbesar yang dihadapi petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dalam mengekang penularan COVID-19 di Sabah ialah terpaksa meredah hutan tebal bagi menjalankan pengesanan kontak, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata ini kerana, kebanyakan penduduk di kawasan pedalaman negeri itu  bertindak melarikan diri apabila melihat pihak berkuasa datang ke kampung mereka bagi menjalankan ujian saringan COVID-19.

“Mereka (yang bergejala) mahu melarikan diri apabila mereka nampak pasukan barisan hadapan datang… di Kampung Air misalnya, ada hutan tebal dan mereka cuba lari ke situ.

“Kami juga berdepan masalah apabila mahu masukkan mereka ke hospital dan perlu memaksa mereka,” katanya pada sidang media mengenai COVID-19 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata keadaan itu berpunca daripada kekurangan pengetahuan  dan kesedaran tentang pandemik tersebut dalam kalangan komuniti berkenaan.

Mengulas perkembangan berbeza, Dr Noor Hisham berkata KKM akan menjalankan pemeriksaan susulan ke atas bekas pesakit COVID-19 setiap tiga bulan bagi mengesan sebarang kesan sampingan serta komplikasi pada bekas pesakit, khususnya mereka yang bertahap empat dan lima.

Beliau juga menganjurkan bekas pesakit membentuk kumpulan sokongan dan KKM bersedia memberikan bimbingan.

“Bagus kalau mereka boleh membentuk kumpulan dan berkongsi pengalaman masing-masing seperti bagaimana mereka menghadapinya,” kata Dr Noor Hisham.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan