COVID-19

Notis 24 jam perbaiki SOP bazar Ramadan di Penaga, Kepala Batas

20/04/2021 09:27 PM

KEPALA BATAS, 20 April  -- Bazar Ramadan di Penaga dan Kepala Batas di sini diberikan notis untuk meningkatkan serta memperbaiki prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh 24 jam dan jika gagal, pihak berkuasa akan menutup operasi kedua-dua bazar itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata pemeriksaan pihaknya di kedua-dua bazar mendapati penganjurnya iaitu Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) gagal mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Dalam pemeriksaan hari ini, kami mendapati kedua-dua bazar Ramadan itu gagal mematuhi SOP iaitu (menjaga) jarak fizikal, gagal memastikan pengunjung mendaftarkan nama mereka dengan betul, tidak memakai apron pakai buang dan pekerja lebih daripada dua orang bagi setiap gerai.

"Berikutan itu, pihak Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengeluarkan notis untuk penganjur memperbaikinya termasuk memastikan lorong masuk dan keluar dengan betul dan jika gagal berbuat demikian, kami akan mengambil tindakan menutup operasi dua bazar tersebut," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pemeriksaan di kedua-dua bazar hari ini.

Pemeriksaan itu turut disertai penguatkuasa MBSP dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Noorzainy berkata penganjur sepatutnya memberi penerangan kepada semua peniaga berkaitan SOP yang ditetapkan kerana perkara itu telah dimaklumkan lebih awal kepada penganjur.

"Kami tidak menyalahkan peniaga kerana menjadi tugas penganjur sebenarnya untuk memberi penerangan kepada mereka dengan betul macam apron pakai buang… setiap peniaga perlu memakainya dan buang selepas menggunakannya, ini penting sebab kita tidak mahu berlaku penularan wabak COVID-19," katanya.

Beliau berkata pemeriksaan hari ini membabitkan 70 gerai di Bazar Ramadan Kepala Batas dan 45 di Penaga.

"Pihak kami turut menjalankan pemeriksaan di 17 lagi bazar Ramadan yang terdapat di daerah SPU hari ini dan berdasarkan maklumat, semuanya mematuhi SOP ditetapkan termasuk menetapkan jumlah pengunjung yang masuk pada satu-satu masa dengan memberikan nombor giliran," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan