COVID-19

EMPV dikerah pantau peningkatan kenderaan di lebuh raya - Timbalan KPN

20/04/2021 09:40 PM

KUALA LUMPUR, 20 April -- Susulan peningkatan kenderaan di jalan raya selepas semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi, elemen Peronda Lebuh Raya (EMPV) Polis Diraja Malaysia (PDRM) digerakkan ke semua sektor lebuh raya bagi pemantauan dan menyuraikan kesesakan lalu lintas.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata selepas kerajaan membenarkan semua sektor ekonomi beroperasi, pihaknya mengesan peningkatan aliran trafik dan pertambahan kenderaan di semua lebuh raya serta jalan utama di seluruh negara.

"Bagaimanapun, aliran trafik dan kadar kemalangan masih lagi terkawal," katanya ketika dihubungi Bernama TV baru-baru ini.

Beliau berkata selain itu, unit EMPV digerak bagi menguatkuasakan undang-undang dan peraturan di jalan raya termasuk rondaan cegah kemalangan, menjalankan pemantuhan SOP Op COVID-19 di Hentian Rehat dan Rawat (RnR) serta kawasan hentian sebelah di lebuh raya. 

Selain itu, katanya tindakan penguatkuasaan (operasi) dibuat di peringkat kontinjen negeri dan daerah bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin.

Pada 1 April lepas, syarat pematuhan 30 peratus kehadiran pekerja di pejabat bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah dibatalkan manakala operasi sektor swasta dibenarkan 100 peratus bagi bahagian pengurusan atau penyelia dan bahagian operasi atau sokongan.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan