COVID-19

98.2 peratus kes baharu COVID-19 kategori satu dan dua

06/12/2021 08:13 PM

KUALA LUMPUR, 6 Dis -- Sebanyak 98.2 peratus atau 4,184 daripada keseluruhan 4,262 kes baharu COVID-19 dilapor hari ini adalah kategori satu dan dua, masing-masing tidak bergejala serta bergejala ringan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata 78 kes atau 1.8 peratus pula dalam kategori tiga, empat dan lima, iaitu mereka yang mempunyai radang paru-paru, memerlukan bantuan oksigen dan alat bantuan pernafasan.

Beliau berkata kumulatif kes COVID-19 dalam negara kini 2,663,034 selepas 4,262 kes baharu direkodkan.

“Sebanyak 463 kes kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala 249 lagi kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 5,894 kes sembuh dicatatkan menjadikan kumulatif kes yang pulih daripada jangkitan itu kini 2,572,053.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan sehingga 4 Dis, Minggu Epidemiologi (ME) ke-48, sebanyak 2,654,474 kes kumulatif COVID-19 telah dilaporkan dengan 62,670 kes aktif dan 30,574 kes kumulatif kematian.

“Meskipun nilai kadar kebolehjangkitan atau R-Naught (Rt) negara meningkat sedikit pada minggu lepas, semua indikator utama jangkitan COVID-19, kini mencatatkan penurunan berbanding ME ke-47.

“Dari segi kewujudan kluster baharu pula, semua kategori kluster menunjukkan tren penurunan kecuali kluster pendidikan,” katanya.

Maklumat terperinci berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 akan dimuat naik ke laman sesawang COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my dan data dikemas kini pada 12 tengah malam setiap hari.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan