MALAYSIA @ EXPO 2020 DUBAI

Ekspo 2020 Dubai sambut Hari Malaysia

08/01/2022 06:11 PM

KUALA LUMPUR, 8 Jan  -- Pavilion Malaysia hari ini meraikan Hari Malaysia dengan memberi penghormatan ke atas pencapaian negara dalam sektor utama seperti ekonomi, sosial, budaya, sains dan teknologi, sempena hari penghormatan yang diberikan oleh Ekspo 2020 Dubai kepada negara-negara yang mengambil bahagian. 

Ia juga merupakan pencapaian 100 hari penyertaan Malaysia di Ekspo 2020 Dubai, yang berlangsung dari 1 Oktober 2021 hingga 31 Mac 2022, kata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam satu kenyataan hari ini.

Delegasi Malaysia yang diketuai oleh Timbalan Menteri MOSTI Datuk Ahmad Amzad Hashim telah disambut oleh Menteri Negeri Emiriyah Arab Bersatu Ahmed Ali Al Sayegh.

“Ekspo 2020 Dubai yang bertemakan “Menghubung Minda, Mencipta Masa Depan” telah membuka banyak peluang pasaran yang baharu dan menarik bagi Malaysia dalam meningkatkan perdagangan, pelaburan serta pertukaran budaya,” kata Ahmad Amzad Hashim dalam ucapan pada majlis itu sebagai mewakili Menteri MOSTI Datuk Seri Dr Adham Baba.

Ekspo 2020 Dubai juga telah memberikan Malaysia peluang untuk mengukuh kedudukannya sebagai hab ekonomi di rantau Asia Tenggara.

Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan bahawa Malaysia telah memperolehi lebih daripada RM33.9 bilion dalam potensi pulangan perdagangan dan pelaburan dalam lapan minggu pertama penyertaan di Ekspo 2020 Dubai. 

Malaysia sehingga minggu ke-12 telah menjana RM35.2 bilion potensi pulangan perdagangan dan pelaburan. Pencapaian tersebut diraih melalui 71 Memorandum Persefahaman, Memorandum Kerjasama dan Surat Niat serta 793 petunjuk perniagaan dengan beberapa syarikat antarabangsa.

Pavilion Malaysia sehingga kini telah menerima 500,000 pengunjung.

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan