MALAYSIA @ EXPO 2020 DUBAI

MCB pamer biji koko berkualiti tinggi di Ekspo 2020 Dubai

10/02/2022 03:41 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb -- Lembaga Koko Malaysia (MCB) mempamerkan usahanya  menghasilkan biji koko single-origin (berasal dari satu sumber) berperisa halus di Ekspo 2020 Dubai bagi memenuhi misi Malaysia menjadi antara pengeluar biji koko berkualiti tinggi dunia.

Ia juga berhasrat mengembangkan perdagangan koko dan coklat melalui perbincangan dan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) semasa acara itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, MCB berkata ia memberi tumpuan kepada mengekalkan kepentingan koko dan memperkenalkan ketepatan dan pengurusan koko pintar menerusi revolusi perindustrian keempat (IR4.0), untuk pembangunan industri koko Malaysia.

"Ketepatan dan pengurusan ladang koko yang pintar menyediakan pelan tindakan untuk meningkatkan produktiviti koko di samping mengurangkan kos input pertanian," katanya.

Untuk ini, MCB dan Agrocloud Sdn Bhd bekerjasama sebagai rakan kongsi strategik dalam pertanian koko teknologi pintar, dan dokumen MoU dimeterai semasa pelancaran Minggu Pertanian Lestari (Agrikomoditi Makanan) di Pavilion Malaysia Ekspo 2020 Dubai pada 7 Feb, 2022.

Kerjasama itu akan memberi tumpuan kepada meningkatkan produktiviti penanaman koko Malaysia melalui Internet Pelbagai Benda (IoT) dan metodologi pertanian moden, termasuk mekanisasi, pertanian ketepatan dan pertanian automatik.

Penyertaan keseluruhan Malaysia dalam Ekspo 2020 Dubai diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTCCC) sebagai agensi pelaksana.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan