MALAYSIA @ EXPO 2020 DUBAI

MSD Innovation meterai MoU bernilai AS$5 juta bagi teroka pertanian pintar di UAE

22/02/2022 12:23 PM

Daripada Salawaty Supardi

DUBAI, 22 Feb -- Syarikat tempatan Malaysia, MSD Innovation Sdn Bhd, merancang untuk meneroka dan memperkenalkan teknologi pertanian pintar di Emiriah Arab Bersatu (UAE) selain memperluas penggunaannya di seluruh rantau Teluk bagi menangani isu kemampanan dalam pertanian.

Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Tawfik Abdul Rahman berkata MSD Innovation diberikan peluang tersebut menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai AS$5 juta (AS$1=RM4.18).

Beliau berkata MoU itu telah ditandatangani pihaknya dengan Sweet Corn General Trading LLC (Sweet Corn) Dubai, dengan tempoh sah selama dua tahun, di sini pada Isnin.

“Kedua-dua syarikat mahu mewujudkan asas kerjasama ke arah meningkatkan aktiviti komersial dalam bidang pertanian pintar dan teknologi baharu antara kami,” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata menerusi MoU itu juga, kedua-dua pihak akan meneroka konsep komersial seperti tempat tuaian sayuran segar di kawasan komersial dengan pelanggan boleh memilih, serta menuai sayuran segar daripada modul sayuran dalam premis.

“MoU ini juga berkaitan dengan usaha meneroka penanaman varieti tumbuhan natif yang boleh dipasarkan di rantau ini seperti Eruca vesicaria (Arugula/Gergil),” katanya.

Pasaran UAE untuk buah-buahan dan sayuran bernilai AS$3.731 bilion pada 2018, dan ia dijangka terus berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul 9.93 peratus sepanjang tempoh jangkaan 2020 hingga 2025.

Mohd Tawfik berkata dalam konteks Malaysia, MSD Innovation, sebagai syarikat berasaskan inovasi, melihat potensi besar untuk menyumbang sebagai ejen pemerkasaan, meningkatkan status sosioekonomi kumpulan sasaran seperti belia, kumpulan isi rumah B40 serta komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan.

“Kami menekankan bahawa pertanian pintar seharusnya boleh diakses oleh setiap orang, khususnya mereka yang amat memerlukan sumber pendapatan tambahan,” katanya.

Beliau berkata MSD Innovation telah mewujudkan sembilan ladang pintar di Lembah Klang, serta enam tapak yang diuruskan oleh peserta B40.

Mengenai penyertaan dalam Ekspo 2020 Dubai, Mohd Tawfik berkata selain memperkenalkan teknologi pertanian pintar Malaysia kepada khalayak yang lebih luas, pihaknya mahu memanfaatkan sepenuhnya kehadiran di sini untuk terlibat dalam aktiviti suai padan perniagaan dengan syarikat yang berpangkalan di Dubai serta wakil dari negara lain.

“Kemampuan dari segi kos dan sifat teknologi kami yang boleh berskala juga bermakna ia boleh menjadi alat pemerkasaan progresif untuk menangani cabaran sosioekonomi yang dihadapi oleh negara membangun,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan