MALAYSIA @ EXPO 2020 DUBAI

20 jenama terkemuka Taiwan Excellence dipamerkan di Ekspo Taiwan 2022

09/08/2022 04:38 PM

KUALA LUMPUR, 9 Ogos (Bernama) -- Sejumlah 20 jenama terkemuka yang dilabelkan sebagai Taiwan Excellence iaitu penanda aras kepada produk berkualiti tinggi dari Taiwan akan dipamerkan di Ekspo Taiwan 2022 yang berlangsung 2 hingga 7 Ogos, 2022.

Acara yang diadakan di Sunway Velocity Mall di sini, berlangsung secara format hibrid dalam talian serta luar talian yang serba baharu direka untuk menarik lebih ramai pengunjung, kata penganjur ekspo, Majlis Pembangunan Perdagangan Luar Negara Taiwan (TAITRA).

Bertemakan 'Embrace the Future', ekspo itu bertujuan mengukuhkan kerjasama perniagaan di antara negara Malaysia dan Taiwan dalam era pasca pandemik.

"Zon Kecemerlangan Taiwan dalam ekspo itu menampilkan produk daripada 20 pengeluar yang dibahagikan kepada tiga kategori iaitu kehidupan pintar, pendidikan masa depan dan penjagaan kesihatan.

"Setiap produk yang dipertontonkan memiliki fungsi tersendiri dan nilai jualan yang unik bagi memberikan mereka kelebihan berbanding beberapa produk terbaik dalam pasaran global dan pengunjung yang mencari peluang perniagaan bakal memperoleh ganjaran sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan.

TAITRA menjelaskan pengunjung bakal terpesona dengan produk inovatif Taiwan yang dipamerkan, tetapi apa yang lebih penting, ialah banyak peluang perniagaan yang menarik pada ekspo kali ini.

"Jenama yang memenangi anugerah Taiwan Excellence mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa untuk reka bentuk, kualiti dan perkhidmatan cemerlang mereka.

"Taiwan Excellence yakin produk yang memiliki tanda arasnya, mempunyai apa yang diperlukan untuk mencapai kedudukan kukuh dalam pasaran Asia Tenggara dan giat mencari rakan kongsi dalam membentuk perkongsian strategik yang saling menguntungkan," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan