BFOKUS

TOPI KELEDAR MURAH DIHIASI WATAK ANIMASI PILIHAN MAK AYAH, ATASI KEPENTINGAN JAGA NYAWA ANAK

12/05/2022 07:48 PM

Oleh Ahmad Aidil Syukri Hamzah & Nur Afiradina Arshad

 Isu kegagalan ibu bapa dalam pematuhan pemakaian topi keledar kanak-kanak kembali menjadi perhatian apabila sesi persekolahan secara bersemuka dilaksanakan semula. Lebih membimbangkan, penjualan topi keledar kanak-kanak tanpa jaminan SIRIM juga didapati semakin berleluasa di platform e-dagang dan isu ini dikupas dalam bahagian kedua artikel.

 

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Lebih 20,000 unit terjual! Begitulah larisnya jualan topi keledar kanak-kanak yang tiada jaminan keselamatan SIRIM dan topi keledar mainan di sebuah platform e-dagang popular.

Malah, tinjauan Bernama di platform e-dagang itu turut mendapati lebih 20 vendor yang membekalkan topi keledar sedemikian dengan beberapa orang daripada mereka memberitahu wartawan Bernama kebanyakan pembeli memilih topi keledar mainan sebagai “pelindung kepala” kanak-kanak ketika membonceng motosikal.


Perbualan wartawan Bernama yang menyamar sebagai pembeli dengan vendor. -- google image & screenshot

Perbualan wartawan Bernama yang menyamar sebagai pembeli dengan vendor juga mendedahkan wujud pengeliruan maklumat yang mungkin turut menyumbang kepada pembelian topi keledar tanpa jaminan keselamatan SIRIM terbabit. 

 Penemuan ini mencetuskan persoalan bagaimana dan mengapa penjualan “alat keselamatan” yang tidak dijamin selamat ini boleh berleluasa, khususnya di platform e-dagang.  

 

MURAH & WATAK KARTUN

“Tidak kena saman kalau anak guna helmet ini. Lagipun, helmet budak kecil memang tidak ada (cap) SIRIM dan ini (topi keledar mainan) ‘free size’. Kanak-kanak umur tiga hingga enam tahun boleh pakai,” dakwa seorang vendor melalui perbualan dengan wartawan Bernama di platform berkenaan. 

Malah, ada juga yang tanpa ragu-ragu mendakwa topi keledar yang dijualnya berkualiti tinggi. Namun, apabila ditanya sama ada peranti itu bercap SIRIM atau tidak, ada yang jujur menjawab: “Tidak.”

Tidak kurang pula yang hanya membalas pertanyaan tentang jaminan keselamatan itu dengan emoji “mengejek”, membayangkan betapa isu ini dipandang remeh oleh peniaga.

 “Helmet ini semuanya okey. Kebanyakannya pilih corak Spider-Man,” kata seorang penjual ketika ditanya mengenai jenis topi keledar yang sering menjadi pilihan ibu bapa atau penjaga.


Gambar hiasan. -- https://www.walmart.ca

Dijual pada harga serendah RM20, penjual itu mendedahkan topi keledar dihiasi watak adiwira komik Marvel diminati ramai walaupun tidak mempunyai maklumat spesifikasi keselamatan dan cap SIRIM.

Kecenderungan ibu bapa dan penjaga membeli topi keledar mainan turut diakui oleh beberapa peniaga kedai alat mainan di Jalan Raja Laut di ibu negara.

Menurut seorang jurujual di sebuah kedai alat mainan yang dikunjungi wartawan Bernama, antara faktor yang menyebabkan ibu bapa memilih topi keledar mainan ialah alat itu lebih ringan dan selesa dipakai oleh kanak-kanak, terutama yang baru belajar menggunakan  topi keledar.

Selain harganya yang lebih murah berbanding topi keledar bercap SIRIM, iaitu sekitar RM35 hingga RM45 berbanding RM65 bagi yang dijamin selamat, topi keledar mainan terbabit turut ditawarkan dengan corak menarik termasuk watak kartun popular.

 

STOK TERHAD 

“Amat menyedihkan apabila masih ada ibu bapa yang lebih mementingkan harga murah dan inginkan helmet yang cantik berbanding keselamatan anak mereka.

“Mereka tidak kisah kerana menganggap asal ada sesuatu diletakkan di atas kepala anak mereka maka sudah cukup,” kata pakar keselamatan jalan raya Prof Dr Kulanthayan KC Mani kepada Bernama. 


Prof Dr Kulanthayan KC Mani.

Wartawan Bernama sempat membelek beberapa unit topi keledar mainan yang dikatakan menjadi pilihan di kedai alat mainan di Jalan Raja Laut, dan didapati peranti terbabit diperbuat daripada plastik yang mudah pecah selain sangat nipis - jauh berbeza dengan topi keledar bercap SIRIM yang dilengkapi ciri-ciri keselamatan dan mampu melindungi kepala pemakai daripada impak akibat hentakan ke permukaan keras. 

Walaupun harga topi keledar bercap SIRIM ini hanya sekitar RM65, masih ada ibu bapa yang tidak mahu membelinya kerana mahukan yang lebih murah, kata seorang jurujual di sebuah kedai menjual motosikal dan aksesori  di Sentul di sini. 

Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Ali, berkata walaupun tidak semenarik topi keledar mainan, helmet bercap SIRIM turut ditawarkan dalam pelbagai warna dan model.

“Untuk keselamatan, harga RM65 tidaklah mahal dan kedai kami memang jual yang ada tanda SIRIM (sahaja) kerana, kalau tidak, boleh kena tindakan undang-undang. 

“Topi keledar kanak-kanak sesuai dipakai pada usia lima tahun memandangkan fizikal mereka sudah mampu menampung berat helmet. Kalau kurang daripada umur itu, tengkuk tidak boleh menampung berat helmet,” jelasnya.

Bagaimanapun Bernama mendapati kebanyakan kedai motosikal yang menjual topi keledar kanak-kanak dengan cap SIRIM ini tidak menyimpan stok yang banyak.

Kulanthayan melihat penawaran stok yang terhad itu sebagai antara punca ibu bapa membeli topi keledar mainan atau tanpa jaminan keselamatan SIRIM.

 

BERANI, TIADA PENGUATKUASAAN


Gambar hiasan. -- fotoBERNAMA (2014) HAKCIPTA TERPELIHARA

“Stok terhad ini biasanya disebabkan isu permintaan dan penawaran yang mana apabila kurangnya permintaan, penjual akan mula mengurangkan pengambilan stok mereka.

“Namun begitu, kita tidak boleh menafikan masih ada yang ingin mencari helmet yang mempunyai ciri-ciri keselamatan, dan apabila tidak banyak dijual, mahu atau tidak mereka terpaksa membelinya di kedai alat mainan ataupun e-dagang, sekali gus menyebabkan penjualan dalam talian semakin berleluasa,” katanya. 

Bagi Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), mereka melihat isu ini semakin membarah disebabkan tiada pengawalan yang berkesan oleh pihak berkuasa.  

Mengulas mengenainya, Timbalan Setiausaha Agung FOMCA Nur Asyikin Aminuddin berkata pihaknya masih menunggu garis panduan bagi memerangi isu scammer dan penipuan di platform e-dagang yang dilapor akan dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada Mac tahun lepas.

“Pada pandangan saya,  penjualan sebegini begitu aktif di platform dalam talian kerana kita tiada satu mekanisme untuk mengawal para peniaga di platform digital. Kena ada undang-undang untuk kawal platform digital. 

“Ketika ini tiada mana-mana agensi yang mengawal aktiviti penjualan dalam talian, sekali gus menyebabkan apa-apa produk, termasuk yang tidak selamat, boleh masuk dan dijual sewenang-wenangnya di situ,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata FOMCA memandang serius isu penjualan barangan dalam talian dan menggesa agar segera diwujudkan satu mekanisme pengawalan aktiviti itu, khususnya dalam membendung penjualan produk tidak selamat.

 

BERTINDAK JIKA ADA ADUAN 

Apabila diajukan isu ini kepada Pengarah KPDNHEP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) Ariffin Samsudin, beliau berkata pemantauan dan penguatkuasaan berhubung penjualan topi keledar dalam talian akan dilakukan apabila pihaknya menerima aduan daripada orang ramai. 

Katanya peniaga dalam talian harus mempamerkan maklumat yang benar dan tepat berhubung perihal barang yang diiklankan untuk dijual, dan dalam konteks topi keledar kanak-kanak, spesifikasi serta penandaan SIRIM perlu diletak secara jelas sebagai pemakluman kepada pengguna.   

“Mana-mana peniaga dalam talian memberi maklumat yang berbeza daripada apa yang diiklankan, ini merupakan satu kesalahan di bawah pengiklanan umpanan (Seksyen 13 Akta Perlindungan Pengguna 1999) atau Kesalahan Representasi Palsu atau Mengelirukan (Seksyen 10 Akta Perlindungan Pengguna 1999).

“Semua peniaga dalam talian juga hendaklah mematuhi Peraturan-peraturan Perlindungan Pengguna  (Urusniaga Perdagangan Elektronik) 2012,” katanya. 


Pembeli perlu menyemak spesifikasi topi keledar yang diiklankan untuk memastikan standard keselamatan SIRIM dipatuhi. -- KPDNHEP

Ariffin berkata KPDNHEP menguatkuasakan perihalan standard keselamatan yang dikeluarkan oleh SIRIM ke atas topi keledar motosikal di bawah perundangan Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Topi Keledar Motosikal) 2012.

Tidak kira sama ada penjual dalam talian mahupun kedai, jika didapati ada yang menjual topi keledar tanpa kelulusan standard keselamatan daripada SIRIM, individu mahupun syarikat boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 29(2)(d) Akta Perihal Dagangan 2011, tegasnya.

“Individu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan kedua denda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

“Bagi syarikat, denda tidak melebihi RM200,000, dan bagi kesalahan kali kedua dikenakan denda tidak melebihi RM500,000,” katanya. 

Justeru, beliau menasihati pembeli agar lebih berhati-hati dan menyemak spesifikasi topi keledar yang diiklankan untuk memastikan standard keselamatan SIRIM dipatuhi. 

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan