'Sir Cloud’ Gagah Bangkit Daripada Kegagalan

M
enanggung hutang keliling pinggang akibat ketagihan berjudi ditambah kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19, menambah kemurungan buat Andrew Cheong, 38.

Dijerut hutang kerana terjebak dengan perjudian Liga Perdana Inggeris bermula seawal dia belajar di kolej lagi, Cheong bernasib baik kerana ibu bapanya membantu melunaskan hutang-hutangnya.

Namun sekali lagi dia dibebani masalah apabila diberhentikan kerja sewaktu pandemik ketika kariernya sedang memuncak. Dia menjadi murung dan mengurung diri dengan e-sukan (eSports) sebagai cara untuk mengalihkan kecenderungan untuk membunuh diri.

(eSports – ringkas untuk sukan elektronik - klasifikasi sukan video ýang dimainkan dalam suasana persaingan sengit.)

Ketika itu, Cheong tidak menyangka minatnya terhadap permainan dalam talian (online games) seperti Counter Strike, Dota, MAT (Mission Against Terror), Valorant, PUBG Mobiledan Mobile Legends: Bang Bang, akan menjadi ruang untuk dia "membuat sedikit wang", yang membolehkan dia mengatasi kemurungannya serta memperolehi pendapatan.

 

BANGKIT DARIPADA KEGAGALAN

Daripada kehidupan yang sering dibayangi kemurungan dan tekanan, segalanya berubah untuk Cheong kepada kehidupan yang diiringi dengan senyuman dengan dirinya lebih dikenali sebagai Sir Cloud.

Bagi mereka yang terlibat dalam dunai e-sukan, Sir Cloud adalah karektor yang sukar dielak.

“Pada masa ini, saya adalah pengulas e-sukan, seorang penganalisis dan pencipta kandungan. Saya juga mengajar e-sukan di Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di sini baru-baru ini.

Dengan perkataan lain, Cheong "memakai topi yang berbeza" – sebagai pemain atau pengulas, memberi ulasannya dalam bahasa Melayu atau Inggeris, atau sebagai penganalisis, memantau permainan dan kemudian membuat ulasan.

'Hypecaster (pengulas secara langsung pertandingan permainan video) ini mempunyai ijazah dalam bidang komunikasi dan Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Sumber Manusia. Cheong kini sedang mengikuti pengajian Ijazah Kedoktoran dalam bidang psikologi.         

             

 Pembabitan Cheong dalam dunia pertandingan permainan dalam talian bemula pada tahun 2000 dan waktu itu dia bermain Counter Strike di kafe siber..

“Apabila saya mula bekerja, saya bermain (online gaming) pada hujung minggu sebagai hobi. Saya boleh katakan hobi yang serius,” katanya.

Dia pernah menerima cabaran untuk menyertai kejohanan kecil dalam talian di Malaysia, sering kali tanpa menerima sebarang bayaran hanya untuk mencari pengalaman, dan dalam masa yang sama, mengumpul "flying hours”.

“Saya buat secara percuma  kerana waktu itu saya mempunyai pekerjaan sepenuh masa. Jadi, itu setakat hobi sebelum berlaku pandemik,” katanya.

Mengimbau hari-hari awal dia menjadi '’gamer", Cheong berkata, dia dialu-alukan oleh komuniti dan penganjur gaming. Masa hujung minggu dipenuhi dengan menyertai kejohanan.

“Akhirnya, penganjur mula membayar saya (untuk membuat ulasan)… pada awalnya, tak banyak (serendah ) RM5 atau mereka belanja saya teh tarik,” tambahnya. 

Bagi Cheong, dia tidak kisah dengan bayaran kecil yang diterima "pada masa itu" tetapi diharap tidak menjadi amalan kerana tindakan itu boleh menjejaskan profesion hypecaster.

 

PENGISIAN UNTUK ORANG RAMAI

Cheong kini adalah nama besar dalam dunia komentar e-sukan. Dia juga mempunyai laman sesawangnya sendiri dan saluran YouTube, dengan 4,400 pelanggan, membolehkan dia berinteraksi dengan komuniti esukan..  

Dia juga tidak menyangka akan menjadi pengurus pasukan untuk pasukan esukan kebangsaan pada Sukan SEA 2023 di Kampuchea..

Sebelum itu, Cheong memenangi anugerah Creative Talent di Golden Bullet Awards 2021 dan anugerah Caster of the Year di Malaysia Esports Awards 2023.

Cheong juga adalah calon anugerah Pengulas Sukan Popular untuk Anugerah Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2024. 

Pencalonannya itu amat bermakna bagi komuniti e-sukan kerana akhirnya e-sukan diiktiraf sebagai sukan.

Sementara itu, atas minatnya untuk melatih pemain e-sukan yang tidak berpengalaman, Cheong memasukkan kandungan berbentuk pendidikan - teknik gaming - di rangkaian YouTubenya @SirCloudMY.

“Apabila kita tidak tahu asas, setiap permainan menjadi sukar. Sebagai contoh, ada hadnya apa yang boleh dilakukan pemain pertahanan. Saya boleh memastikan rumah saya terjaga tetapi jika anda tidak boleh menjaringkan gol, kita tak boleh menang,” katanya.

Cheong juga berkongsi kemahiran serta pengalaman hidupnya dalam buku berbahasa Melayu bertajuk ‘Esports Selamatkan Hidup Aku’, diterbitkan oleh Rabak-Lit dan dilancarkan baru-baru ini di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2024.  

 

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

 

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.