Sunda Shelves - Bukan Sebarang Kedai Buku

&
nbsp;Mereka yang pertama kali menjejak kedai buku Sunda Shelves, pastinya akan tercari-cari di mana lokasi kerana letaknya di tingkat atas deretan kedai di kawasan kejiranan Damansara Kim.

Penulis sendiri mengalami perkara yang sama dan sebaik sahaja terpandang papan iklan berwarna putih bertulis tangan ‘Sunda Shelves’, rasa gembira seolah-olah berjaya menggali harta karun. Dari stesen MRT TTDI, penulis berjalan kaki ke kedai itu, yang memulakan operasi pada 24 Jun 2023.

Pintu masuk ke kedai itu hanya menggunakan bahan-bahan kitar semula tapi ingat ungkapan berbahasa Inggeris 'Don't judge a book by its cover', dengan maksud tersirat, ‘Jangan menilai buku dengan melihat kulitnya sahaja’.

Papan putih terpampang 'Sunda Shelves' jelas kelihatan di hadapan pintu masuk kedai buku itu

Selangkah demi selangkah menaiki anak tangga ke tingkat satu dan sebaik sahaja membuka pintu, penulis dapat menghidu aroma kopi dan juga bau asli buku yang mengisi ruang kedai.

"Selamat tengah hari! Selamat datang ke Sunda Shelves!" Pengurus buku Jennifer Neoh Tan menyambut kedatangan penulis sambil tersenyum.

"Tunggu saya panggil Surin dan Dylan, pengasas bersama kedai ini," kata Jennifer.

Sementara menunggu Surin Suksuwan, seorang penyokong pemuliharaan dan Dylan Jefri Ong, perunding kepelbagaian biologi, untuk wawancara eksklusif ini, penulis mengambil kesempatan meninjau setiap penjuru kedai. Pada tengah hari Jumaat itu, hanya ada dua orang pelanggan.

Surin Sukuwan (kiri) dan Dylan Jefri Ong (kanan)

 

 

ASAL USUL SUNDA SHELVES

Di satu penjuru, terdapat kafe dengan kerusi disusun kemas. Di sini pelanggan boleh membaca sambil menghirup kopi. Terdapat juga meja dipenuhi pelbagai jenis cenderahati, pastinya menarik perhatian pelanggan

Beberapa almari diletak di sebelah kanan kafe dengan pelbagai buku lama dan baharu mengenai alam semula jadi mengisi ruang para, dan itulah yang menjadi keistimewaan kedai ini di samping buku sejarah semula jadi rantau ini.

Mereka yang meminati bibliofil tidak akan pulang dengan tangan kosong kerana ada banyak pilihan, sama ada baharu atau buku terpakai. Menghabiskan masa beberapa jam di kedai ini pastinya berbaloi untuk ‘ulat buku’ dan pencinta kopi.

"Adik perempuan saya Sumalee Suksuwan menguruskan kafe ini, sementara isteri saya Jennifer mengendalikan operasi kedai buku ini," kata Surin, yang juga seorang perunding bebas alam sekitar dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO). 

Keadaan dalaman 'Sunda Shelves' yang mana kafe di bahagian kiri dan buku-buku disusun rapi di rak di bahagian kanan

Apabila ditanya mengapa kedai buku mereka diberi nama  'Sunda Shelves', Surin dan Dylan tidak terus menjawab, hanya ketawa besar. 

"Kami mempunyai idea yang sama untuk mempunyai bengkel buku alam semula jadi. Kami berkenalan semasa mengendalikan projek Taman Negeri Perlis. Dylan seorang sukarelawan dan kemudian menjadi perunding projek itu pada tahun 2000.

"Setelah merancang beberapa tahun, kami membuat keputusan membuka kedai ini dan perancangan bermula pada tahun 2022," kata Surin menambah, nama 'Sunda Shelves' adalah satu istilah geografi.

"Seperti yang kita belajar Geografi di sekolah, Sunda Shelf atau Selat Sunda adalah kawasan maritim cetek termasuk sebahagian Laut China Selatan, Laut Jawa dan Laut Andaman yang menghubungkan kepulauan Indonesia, terdiri daripada pulau-pulau seperti Borneo, Sumatera, Jawa dan Bali ke tanah besar atau benua Asia.

"Kerana fungsinya sebagai jambatan biologi yang membolehkan spesies dari tanah besar Asia bertebaran dan menjadi populasi pulau-pulau, menambah kepelbagaian biologi,

"Sunda Shelves adalah tempat tumpuan untuk usaha-usaha pemuliharaan dan penyumbang penting kepada kepelbagaian global kerana ia adalah ‘rumah’ untuk banyak spesies yang luar biasa dan jarang ditemui," kata Dylan, sambil menambah ia amat sesuai dijadikan nama untuk kafe mereka.

 

BUKAN SEBARANG KEDAI BUKU 

Sunda Shelves pastinya menambat hati pencinta buku dan alam semula jadi yang mahu menambah koleksi buku mengenai alam semula jadi, budaya, sejarah dan pelancongan berkait dengan Malaysia dan tempat lain di Asia Tenggara.

Buat pasangan ini, mungkin sukar mendapatkan buku sejarah alam semula jadi di Malaysia.

"Sebelum ini ada sebuah kedai buku di ibu pejabat Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) di Kuala Lumpur tetapi sudah ditutup beberapa tahun lalu. 

"Kami mendapat inspirasi untuk membuka Sunda Shelves daripada kedai buku bernama 'The Borneo Shop' di Kota Kinabalu yang juga mengkhususkan sejarah alam semula jadi. Memandangkan tidak ada kedai buku di Semenanjung yang memberi pengkhususan kepada sejarah alam semula jadi, kami sudah jangka Sunda Shelves adalah unik," kata Dylan.

Menurut beliau, memandangkan juga tidak ada banyak kedai buku di sekitar kawasan Petaling Jaya, faktor itu juga mendorong mereka membuka kedai buku di Damansara Kim. 

Surin menambah, meskipun ada kedai buku di tengah-tengah pusat bandar Kuala Lumpur seperti Petaling Street dan KLCC tetapi kawasan meletak kereta adalah terhad.

"Sebab itulah kami buat keputusan buka di Damansara Kim dan pelanggan boleh meletak kereta berhampiran stesen MRT," katanya.

 

BUKU UNTUK SEMUA

Sunda Shelves menawarkan berjenis-jenis buku yang dibeli daripada pelbagai penerbit dan pengedar sementara buku terpakai diperolehi daripada sumbangan awam dan dibeli di pasar buku terpakai.

Buku-buku dikategorikan di bawah nama ‘plants’, ‘animals’, ‘biodiversity’, ‘evolution, ‘environmental issues’, ‘travel’ dan ‘Malaysiana’ sementara buku yang jarang dijumpai disimpan di dalam sebuah almari, berhampiran kaunter. 

Untuk cenderahati, terdapat mug, beg dan kad ucapan dengan hasil seni bertemakan alam semula jadi oleh artis berpangkalan di Pulau Pinang, Beng Teong. Barangan batik dengan motif penyu dihasilkan oleh Persatuan Pemuliharaan Penyu Malaysia.

Selain buku-buku berkaitan alam sekitar, terdapat juga cenderahati dijual di 'Sunda Shelves'

Menurut pasangan itu, kedai buku mereka juga menawarkan bacaaan ringan  seperti buku fiksyen untuk kanak-kanak dan orang dewasa.  

"Hampir 90 peratus buku di sini dalam bahasa Inggeris. Ada beberapa buah buku dalam bahasa Melayu, kebanyakannya mengenai sejarah dan spesies tanaman. Buku untuk kanak-kanak pula adalah dalam bahasa Inggeris, Melayu dan Cina," kata Surin.

Memandangkan kedua-duanya terlibat dalam bidang pemuliharaan kepelbagaian biologi beberapa tahun lamanya, Surin dan Dylan berkata, mereka tahu buku yang mengandungi fakta yang betul dan boleh dipercayai. 

Bagaimanapun, pasangan ini berkata, pembaca akhirnya perlu membuat keputusan buku yang mana menarik minat mereka.

 

 

PELBAGAI AKTIVITI  

Di samping menyediakan buku alam semula jadi dan barangan lain, 'Sunda Shelves' turut menawarkan ruang untuk pihak yang mahu menganjurkan acara atau aktiviti untuk merangsang perbincangan mengenai alam semula jadi.

Sebuah papan tanda komuniti juga disediakan, yang memaparkan aktiviti serta acara berkait alam semula jadi, sementara premis Sunda Shelves juga boleh menjadi tempat untuk mengadakan ceramah atau majlis menandatangan buku. 

Sebagai contoh, ceramah akan datang mengenai 'Minyak Kulim', juga dikenali sebagai bawang putih hutan oleh Oylhaus, pihak pengeluar minyak berkenaan.  

"Banyak NGO menggunakan tempat kami untuk mesyuarat mereka.  Ada juga keluarga yang datang ke sini untuk menghabiskan masa membaca dan menikmati sajian kafe kami, " kata Surin, menambah, kebanyakan ceramah diadakan pada hujung minggu untuk menarik lebih ramai orang datang di samping memperkenalkan karipap istimewa mereka yang dipanggil 'Maleepap.' 

Terdapat tiga jenis 'Maleepap' iaitu  - Ori, rendang Siam dan sardin.

Menurut Dylan, Sunda Shelves juga bertindak sebagai tempat untuk perkongsian sejarah alam semula jadi serta kepelbagaian biologi dan berharap menjadi inspirasi untuk pihak lain menyertai usaha melindungi serta memelihara kepelbagaian biologi negara.

"Ramai yang masih belum sedar tentang kepelbagaian biologi yang menakjubkan, yang ada di negara ini dan di rantau ini. Diharapkan, menerusi buku-buku yang ada di Sunda Shelves dan acara yang kami anjurkan, kami dapat meningkatkan tahap kesedaran ini," katanya.

 

E-BOOKS, KEDAI DALAM TALIAN 

Kebanyakan pemilik kedai buku berhadapan dengan pelbagai ketidaktentuan baharu akibat jangkaan ekonomi secara keseluruhan - kekurangan pekerja, isu rantaian bekalan, kadar sewa yang meningkat, begitu juga kadar faedah. Semua faktor boleh mendorong pengguna mengurangkan perbelanjaan mereka.

Pasangan ini yang akur bahawa ramai yang lebih suka membeli buku menerusi kedai dalam talian, masih yakin kawasan kejiranan memerlukan kedai buku.

"Kami menghasilkan kedai ini untuk komuniti, yang mencari-cari bahan bacaan bertemakan alam semula jadi dan sejarah alam semula jadi di samping boleh mengumpulkan penyokong pemuliharaan dan pencinta alam semula jadi, seperti kami, untuk berdialog dan berbincang.

"Perbincangan mengenai pemuliharaan alam semula jadi dan kepelbagaian biologi tak boleh berhenti selepas satu-satu acara, forum atau sebarang kegiatan diadakan. Mesti ada kesinambungan. Memandangkan Malaysia adalah satu daripada 17 negara biodiversiti mega, kita perlu mempromosikannya dan menarik lebih ramai untuk meneroka keindahan negara ini, " katanya.

Sebagai penyokong pemuliharaan, Surin menambah, Sunda Shelves boleh menjadi titik permulaan bagi komuniti, tanpa mengira umur dan latar belakang untuk mencambah kecintaan kepada alam semula jadi.

"Kami berharap buku-buku kami boleh menyemai minat ini. Kami mahu komuniti belajar dan diharapkan dengan membaca, mereka akan menjadi individu yang sayang dan peka dengan alam sekitar," katanya.

Menurut beliau, Sunda Shelves akan memulakan jualan buku dalam talian tidak lama lagi.

"Kami dapat banyak maklum balas, terutama apabila kami membuka gerai di forum atau acara yang besar. Dari situ, ramai yang mula kenal dengan Sunda Shelves dan datang ke kedai kami," katanya.

 

Diterjemah oleh Melati Mohd Ariff

© 2024 BERNAMA. Hak Cipta Terpelihara.