DUNIA

MENTERI KEWANGAN MALAYSIA, INDONESIA BINCANG KEWANGAN ISLAM, INDUSTRI HALAL DI WASHINGTON

18/04/2024 06:45 PM

JAKARTA, 18 April (Bernama) -- Menteri Kewangan II Malaysia Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengadakan perbincangan dua hala dengan Menteri Kewangan Indonesia Sri Mulyani Indrawati di Washington, Amerika Syarikat, termasuk mengenai kewangan Islam dan industri halal.

Pertemuan mereka di Washington diadakan ketika kedua-dua menteri mengetuai delegasi negara masing-masing ke Mesyuarat Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Kumpulan Bank Dunia 2024 dari 17 hingga 19 April.

"Sebagai negara jiran, hubungan antara Indonesia dan Malaysia saling berkaitan, daripada hubungan kekeluargaan kepada kerjasama ekonomi dan kerjasama dalam kastam dan eksais," kata Sri Mulyani menerusi akaun Instagramnya pada Khamis.

Semasa pertemuan itu, kedua-dua menteri membincangkan cara-cara untuk mengukuhkan hubungan dua hala, terutamanya dalam kewangan Islam, ketika mereka mengharungi masa-masa mencabar di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang semakin meningkat.

"Kita telah banyak belajar dan ramai pakar kewangan syariah kita merupakan graduan negara jiran kita," katanya.

Menekankan kepentingan kerjasama dan kerjasama teknikal untuk menyokong pertumbuhan pesat industri halal, beliau berharap memorandum persefahaman mengenai pengiktirafan sijil halal, yang ditandatangani antara kedua-dua negara sebelum ini, dapat meningkatkan sektor perdagangan makanan dan minuman halal.

Mengenai kedudukan Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun depan, Sri Mulyani memberi jaminan bahawa Indonesia akan menyokong sepenuhnya kejayaan agenda penting itu.

"Dengan kerjasama yang sangat baik, kami akan terus mengukuhkan kedudukan ASEAN sebagai tempat yang cerah, rantau yang bersinar!" katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan