DUNIA > BERITA

CHINA ARAHKAN APPLE KELUARKAN WHATSAPP DAN THREAD DARIPADA APP STORE

19/04/2024 07:52 PM

SAN JOSE (California), 19 April (Bernama-dpa) -- Kerajaan China mengarahkan Apple untuk mengeluarkan aplikasi WhatsApp dan Threads daripada App Store China, kata syarikat gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS) itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).  

Badan kawal selia Internet China memberikan alasan kebimbangan mengenai keselamatan negara apabila mengeluarkan arahan supaya Apple mengeluarkan dua aplikasi milik Meta, pembuat iPhone itu memberitahu The Wall Street Journal dan media lain di AS dalam satu kenyataan lewat Khamis. 

 Beijing telah menghalang aplikasi asing itu daripada boleh diakses di peringkat tempatan.

Bagaimanapun, pengguna dapat memuat turun aplikasi itu dengan menggunakan rangkaian persendirian maya (VPN) yang menghalakan semula laluan data jadi ia kelihatan seperti datang dari luar negara - untuk  melangkau sekatan Kerajaan China.

Langkah diambil Beijing sekarang ialah menutup satu daripada jalan keluar tembok apinya.

Aplikasi mudah alih merupakan satu daripada tumpuan dalam hubungan antara Amerika-China. 

Satu rang undang-undang sedang dibawa menerusi Kongres AS yang akan memaksa penjualan aplikasi pertukaran video popular TikTok yang dimiliki ByteDance berpangkalan di China.

Di Washington, terdapat kebimbangan bertahun-tahun mengenai akses ByteDance ke atas data pengguna. Rang undang-undang terkini itu mendapat banyak sokongan daripada parti Republikan dan Demokrat. 

Perundangan itu akan membolehkan TikTok diharamkan daripada App Store AS jika perkhidmatan itu kekal dimiliki ByteDance. 

-- BERNAMA-dpa

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan