DUNIA > BERITA

KOREA SELATAN TERUS SUMBANG UNTUK ASEAN, MALAYSIA MENERUSI KASI - DUTA

07/05/2024 11:03 AM

Oleh Muhammad Adil Muzaffar Mohd Fisol

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Korea Selatan kekal komited untuk menyumbang serta memainkan peranan dalam hal berkaitan keselamatan Asia Tenggara dan Malaysia melalui Inisiatif Solidariti Korea-ASEAN (KASI), kata dutanya ke Malaysia Yeo Seung-Bae.

Beliau berkata KASI dan Strategi Indo-Pasifik akan terus menjadi sebahagian dasar luar republik itu meskipun Seoul kini dilanda pergolakan politik selepas parti pemerintah People Power Party (PPP) sekadar mampu memperoleh 108 daripada 300 kerusi dalam pilihan raya pada 10 April lepas.

“Walaupun nama atau lebih tepat jenama dasar ini telah berubah selepas kerajaan di Seoul bertukar. Namun, kami masih mengekalkan minat dan tumpuan untuk meningkatkan hubungan dengan ASEAN amnya dan Malaysia khususnya.

“Dasar luar negara kita tetap diteruskan. Kami amat menyedari kepentingan strategik rantau ini dan dalam kes Malaysia, ia terletak di tengah-tengah rantau ASEAN dan kerana itu kami bekerja keras dalam hubungan dua hala serta perkongsian strategik kami dengan Malaysia,” katanya kepada Bernama

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai momentum dasar luar Korea Selatan, terutamanya berkaitan Strategi Indo-Pasifik, ketika ditemui di luar Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di sini hari ini.

KASI ialah dasar serantau dalam rangka Strategi Indo-Pasifik berlandaskan perkongsian kukuh sedia ada dengan negara-negara ASEAN dalam bidang perdagangan, ekonomi, sosial dan budaya ke arah memupuk perkongsian lebih komprehensif yang turut merangkumi kerjasama berkaitan perihal keselamatan iaitu tradisi mahupun bukan tradisi termasuk bidang yang sedang berkembang dan bakal muncul.

Yeo berkata Korea Selatan juga sedang berusaha untuk menawarkan pakej kerjasama industri yang membolehkan Malaysia memperkukuh industri pertahanan negara.

Tanpa memberikan butiran lanjut, beliau berkata 'big package' itu disifatkan bakal membawa manfaat kepada industri ketenteraan kedua-dua negara.

“Kedua-dua pihak sedang membincangkan perjanjian yang merangkumi pemindahan teknologi dan kerjasama penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO). Melalui pakej ini, Korea Selatan berharap dapat membantu Malaysia membangunkan industri pertahanannya dan ekonomi industri secara amnya,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan