DUNIA > BERITA

WAKIL, PAKAR DARI LEBIH 80 NEGARA AKAN SERTAI KAZANFORUM 2024

07/05/2024 04:32 PM

Oleh Rohani Mohd Ibrahim

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Wakil dan pakar dari lebih 80 negara telah mengesahkan penyertaan mereka dalam Forum Ekonomi Antarabangsa Rusia-Dunia Islam ke-15: KazanForum 2024 dari 14 hingga 19 Mei di Rusia.

Sekretariat KazanForum 2024 dalam satu kenyataan pada Selasa berkata forum itu akan melibatkan perwakilan daripada beberapa negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Malaysia, Turkiye dan Iran.

Menurut sekretariat itu, KazanForum pada tahun ini akan menganjurkan pameran International Property Market (IPM) buat kali pertama.

"Pameran itu akan disertai oleh syarikat-syarikat dari Afrika, Asia Tengah dan Asia Timur yang mempamerkan penyelesaian perniagaan terkini, teknologi canggih, reka bentuk bersama dan pengalaman dalam ruang pameran seluas 15,000 meter persegi di Kazan.

“Pemaju, arkitek, pelabur, institusi kewangan dan syarikat akan membentangkan potensi dan perkhidmatan mereka dalam bidang hartanah, pembinaan, reka bentuk dan perancangan bandar,” katanya.

Sekretariat itu berkata pameran yang bermula pada 15 Mei, akan memberi peluang untuk mengetahui lebih lanjut mengenai pembinaan antarabangsa, pasaran hartanah dan trend industri, serta mendapatkan hubungan perniagaan yang berkesan.

Kenyataan itu menyatakan bahawa selain acara perniagaan, KazanForum 2024 turut merangkumi acara kebudayaan dan sukan.

 Peserta KazanForum akan dapat mempelajari tentang inovasi terkini dalam fesyen Islamik dan peluang untuk mempromosikannya di negara-negara yang berbeza semasa ‘Modest Fashion Day Festival’.

Program itu termasuk pertunjukan pereka fesyen dari Rusia dan Asia Tenggara.

Pakar-pakar akan membincangkan prospek dan cabaran industri moden fesyen yang baik dari sudut komunikasi, perniagaan dan dialog antara budaya.

Sementara itu, Piala Hoki Kazan, kejohanan hoki Pertubuhan Pembangunan Hoki Negara-negara Islam, akan diadakan di Kazan sebagai sebahagian daripada KazanForum.

Kejohanan berkenaan akan diadakan dari 11 hingga 15 Mei dengan penyertaan 13 negara.

Selain itu pada 18 Mei, peserta Kejohanan Antarabangsa Yunus Akhmetzyanov Cef Muda Negara Islam 2024 akan menemui peluang baharu untuk masakan halal dan bersaing untuk merebut gelaran tukang masak terbaik.

Peserta forum akan dapat menikmati hidangan masakan halal daripada chef pelbagai negara.

Menurut sekretariat KazanForum, untuk wanita, antara acara paling penting di KazanForum 2024 ialah “Trek Women's Outlook’ yang berlangsung dari 15 hingga 17 Mei, menghimpunkan penceramah asing terkenal daripada hampir 80 negara.

Pada masa sama, peserta KazanForum akan dapat mengunjungi tapak Warisan Dunia UNESCO, termasuk muzium "Kazan Kremlin" dan Masjid Kul Sharif.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan