DUNIA > BERITA

ASTRAZENECA MULA TARIK BALIK VAKSIN COVID-19, VAXZEVRIA

08/05/2024 07:49 PM

Oleh Massita Ahmad

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Gergasi biofarmaseutikal Britain-Sweden AstraZeneca telah memutuskan untuk memulakan penarikan balik vaksin COVID-19 kerana kekurangan permintaan.

Dalam respons menerusi e-mel kepada Bernama berikutan laporan bahawa ia telah memulakan penarikan vaksin COVID-19 di seluruh dunia kerana "lebihan vaksin terkini yang tersedia" sejak wabak itu, jurucakap AstraZeneca berkata syarikat berkenaan telah mengambil keputusan untuk memulakan penarikan balik “Kebenaran Pemasaran” untuk vaksin dikenali sebagai Vaxzevria itu di Eropah.

Jurucakap itu berkata usaha AstraZeneca telah diiktiraf oleh kerajaan di seluruh dunia dan dianggap  sebagai komponen penting untuk menamatkan pandemik COVID-19 global.

"Kami amat bangga dengan peranan yang dimainkan Vaxzevria dalam menamatkan pandemik global," kata jurucakap AstraZeneca.

Negara-negara di seluruh dunia, termasuk Malaysia telah memilih AstraZeneca sebagai sebahagian daripada portfolio vaksin COVID-19 mereka pada kemuncak wabak itu.

"Memandangkan pelbagai jenis vaksin COVID-19 telah dibangunkan sejak itu, terdapat lebihan vaksin terkini yang tersedia," kata jurucakap itu, sambil menambah bahawa ini telah menyebabkan penurunan permintaan untuk Vaxzervria, yang tidak lagi dikeluarkan atau dibekalkan.

Merujuk kepada anggaran bebas, jurucakap itu berkata lebih 6.5 juta nyawa telah diselamatkan hanya dalam tahun pertama penggunaan dan lebih daripada tiga bilion dos telah dibekalkan di seluruh dunia.

"Kami kini akan bekerjasama dengan pengawal selia dan rakan kongsi kami untuk menentukan jalan penyelesaian yang jelas bagi menamatkan bab ini dan sumbangan penting kepada pandemik COVID-19," kata jurucakap itu.

Agensi Ubat Eropah (EMA) dalam kenyataan awamnya pada 27 Mac 2024 berkata Suruhanjaya Eropah (EC) menarik balik kebenaran pemasaran untuk Vaxzevria di Kesatuan Eropah (EU) pada tarikh yang sama.

EMA berkata penarikan balik itu adalah atas permintaan pemegang kebenaran pemasaran, AstraZeneca AB yang memberitahu suruhanjaya berkenaan tentang keputusannya untuk menghentikan pemasaran produk secara kekal atas sebab-sebab komersial.

Vaxzevria telah diberikan kebenaran pemasaran bersyarat di EU pada 29 Jan 2021, untuk imunisasi aktif terhadap COVID-19.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan