DUNIA > BERITA

OIC KUTUK SEKERAS-KERASNYA SERANGAN ISRAEL TERHADAP SEKOLAH UNRWA DI GAZA

08/06/2024 07:15 PM

RAMALLAH, 8 Jun (Bernama-WAFA) -- Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengecam sekeras-kerasnya pembunuhan kejam Israel susulan serangan ke atas sebuah sekolah UNRWA yang menempatkan rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal di Semenanjung Gaza.

Serangan pada Khamis mengakibatkan sekurang-kurangnya 40 orang awam terbunuh dan beberapa lagi cedera, kebanyakan mereka adalah wanita dan kanak-kanak.

Dalam satu kenyataan, OIC memaklumkan pihaknya menganggap kejadian itu sebagai lanjutan daripada jenayah pembunuhan beramai-ramai yang berterusan di Semenanjung Gaza dan pelanggaran terang-terangan terhadap peruntukan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, Konvensyen Geneva, resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan, serta perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Organisasi itu juga mengalu-alukan keputusan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres untuk memasukkan Israel, kuasa pendudukan dalam senarai pelanggar hak kanak-kanak dalam konflik bersenjata atau yang dikenali sebagai "List of Shame".

Ketua badan dunia itu menganggap ia adalah langkah penting untuk menyokong kedaulatan undang-undang antarabangsa dan menamatkan budaya kekebalan terhadap jenayah perang Israel serta memastikan keadilan bagi mangsa, warga Palestin.

OIC menyeru masyarakat antarabangsa, terutamanya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengambil tanggungjawab mereka dan berusaha menghentikan serangan tentera Israel yang berterusan terhadap rakyat Palestin.

Ia seterusnya menggesa agar langkah-langkah serius diambil untuk memastikan bahawa pelaku jenayah perang dan jenayah pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin dibawa ke muka pengadilan.

-- BERNAMA-WAFA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan