DUNIA > BERITA

PM SINGAPURA MULAKAN LAWATAN PENGENALAN KE BRUNEI DAN MALAYSIA

10/06/2024 09:05 PM

SINGAPURA, 10 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, akan memulakan siri lawatan pengenalannya ke ibu kota Asia Tenggara, bermula dengan Brunei dan Malaysia, dari 11 hingga 12 Jun ini.

Ini adalah lawatan luar negara pertamanya sejak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri keempat Singapura pada 15 Mei dan Wong akan berlepas ke Bandar Seri Begawan pada 11 Jun sebelum berlepas ke Kuala Lumpur.

Pejabat Perdana Menteri berkata dalam satu kenyataan pada Isnin bahawa lawatan berkenaan adalah masing-masing atas jemputan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Di Brunei, Wong yang juga Menteri Kewangan dan delegasinya akan menghadap Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri, Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.

Wong dan delegasinya juga akan menghadiri majlis makan tengah hari rasmi yang dihoskan oleh Sultan Brunei.

Wong dan delegasinya juga akan menghadap Putera Mahkota Brunei dan Menteri Kanan di Pejabat Perdana Menteri, Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah.

Wong akan diiringi isteri, Loo Tze Lui, Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan, Menteri Kemampanan dan Sekitaran serta Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan Grace Fu, Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee, serta Menteri Negara bagi Perhubungan dan Penerangan merangkap Kesihatan Rahayu Mahzam.

Perdana Menteri kemudian akan meneruskan perjalanan ke Malaysia pada petang 11 Jun, dan beliau akan bertemu dengan Anwar, yang juga Menteri Kewangan, serta pemimpin-pemimpin Malaysia yang lain.

Sepanjang lawatannya, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perdagangan dan Industri Gan Kim Yong akan memangku jawatan perdana menteri.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan