DUNIA > BERITA

THAILAND KOMITED JALIN KERJASAMA DENGAN NEGARA ISLAM, TINGKATKAN DAYA SAING EKONOMI

12/06/2024 01:44 PM

PATTANI, 12 Jun (Bernama) -- Thailand komited untuk bekerjasama dengan negara-negara Islam membabitkan isu keselamatan makanan, tenaga dan perubahan iklim bagi meningkatkan daya saing ekonomi, kemajuan dan kualiti hidup rakyatnya, kata Timbalan Perdana Menteri Anutin Charnvirakul.

Anutin berkata Perdana Menteri Srettha Thavisin baru-baru ini mengumumkan dasar untuk menjadikan Thailand sebagai hab serantau dalam bidang seperti perkhidmatan kesihatan, pengangkutan udara, telekomunikasi, pendidikan dan pelancongan.

"Thailand komited untuk bekerjasama dengan rakan-rakan kita di negara-negara Islam dalam isu keselamatan makanan, tenaga dan perubahan iklim demi kestabilan dan kualiti hidup rakyat," katanya selepas menyampaikan ucapan alu-aluan semasa Lawatan Duta ke Wilayah Sempadan Selatan Thailand 2024 pada Selasa.

Program Lawatan Duta selama tiga hari yang bermula pada Selasa, dianjurkan oleh Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC) dan Kementerian Luar Thailand untuk mempamerkan kekuatan dan potensi pembangunan wilayah sempadan selatan Thailand.

Lawatan bertemakan "Meningkatkan Kualiti Hidup Rakyat" itu disertai duta dari Brunei, Mesir dan Iran, serta pegawai-pegawai diplomatik dari Indonesia, Malaysia, Maldives, Nigeria dan Uzbekistan.

Anutin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, dunia kini berdepan lebih banyak cabaran berbanding sebelum ini yang merangkumi masalah ekonomi, sosial, wabak dan alam sekitar, antara lain.

"Hubungan yang ikhlas dan kerjasama yang membina menjadi penting untuk kelangsungan hidup manusia, perkongsian akan membawa kepada penyelesaian dan pembangunan yang mampan," katanya.

Sementara itu, Gabenor Pattani Patimoh Sadiyamu menyerlahkan sumber semula jadi yang banyak di Pattani, terutamanya laut dan hutan paya bakau serta tradisi budaya yang pelbagai.

"Majoriti penduduk beragama Islam; bagaimanapun, mereka hidup dengan aman damai dengan penganut agama lain di bawah ideologi satu institusi, 'Negara, Agama, Raja'," katanya.

Patimoh menyuarakan keyakinan mengenai potensi lawatan itu untuk memupuk kerjasama, khususnya dalam pembangunan infrastruktur, yang beliau percaya akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi, perdagangan, logistik, agro-industri, perikanan, pelaburan antarabangsa dan peningkatan kualiti produk serta keusahawanan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan