DUNIA > BERITA

ANWAR, WONG TEGASKAN KOMITMEN PERKUKUH HUBUNGAN MALAYSIA-SINGAPURA

12/06/2024 09:17 PM

PUTRAJAYA, 12 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lawrence Wong menegaskan komitmen mereka untuk bekerjasama rapat bagi mewujudkan ikatan yang lebih teguh antara kedua-dua negara dan merentas semua sektor.

Dalam pertemuan rasmi sulung mereka di Seri Perdana di sini pada Rabu, Anwar berkata beliau dan Wong membincangkan hubungan dua hala secara terbuka dan jujur untuk mempertingkatkannya lagi.

Beliau berkata Wong, yang tiba di sini pada Selasa untuk lawatan pengenalan selama dua hari atas jemputan Anwar, komited seperti pendahulunya dalam menangani isu-isu dua hala yang tertunggak dan berterusan seperti zon ekonomi, pelaburan, perjanjian air, ruang udara, dan sempadan maritim.

"Saya sangat gembira dengan Perdana Menteri Lawrence Wong. Beliau kelihatan begitu komited dalam pertemuan pertama ini sebagai perdana menteri. Saya  kagum dengan agenda beliau dan kesediaannya untuk bersikap jujur dan terbuka.

Saya menantikan hubungan dan ikatan yang sangat sihat dan kuat untuk memberi manfaat kepada kedua-dua negara kita," kata Anwar dalam sidang akhbar bersama Wong selepas pertemuan makan tengah hari.

Anwar berkata hubungan Malaysia dan Singapura yang kukuh dan dinamik bukan sahaja akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara tetapi juga rantau ini secara keseluruhan.

"Saya melihat ini secara pragmatik bahawa Malaysia sudah tentu akan mendapat manfaat besar dengan menjadikan Singapura sebagai rakan dan jiran yang hebat dan begitu juga manfaatnya kepada rakyat Singapura. Kami menganggap Singapura sebagai rakan strategik yang sangat penting dan saya telah menyatakannya tanpa ragu-ragu.

Sudah tentu ada isu-isu yang perlu diselesaikan, tetapi ia akan memberi manfaat besar. Kita boleh menunjukkan bukan sahaja kepada rantau ini tetapi kepada dunia bahawa kita boleh menjadi jiran yang sangat baik dan melalui langkah-langkah praktikal menyelesaikan beberapa isu ini.

Kita juga harus mencari jalan baharu untuk kerjasama yang bukan hanya melangkaui ekonomi dan perdagangan, tetapi juga budaya dan pelancongan serta semua bidang yang berkaitan," katanya.

Sependapat dengan Anwar, Wong berkata Singapura  tetap teguh dengan pendekatan strategik menyeluruhnya dalam libat urus dengan Malaysia.

“Sementara isu mungkin timbul dari semasa ke semasa, seperti yang pasti berlaku antara kawan rapat dan jiran, PM Anwar dan saya komited untuk menanganinya secara membina sambil mengekalkan hubungan keseluruhan kami yang positif dan berpandangan ke hadapan,” katanya.

Wong berkata hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura kini berada dalam keadaan yang sangat baik dan berkembang dengan potensi untuk kedua-dua pihak melakukan lebih banyak lagi secara bersama-sama pada masa hadapan.

“Jadi apa sahaja idea baru, kami ingin mencari bagaimana cara kedua-dua negara dapat menjadi sehaluan kerana saya percaya terdapat banyak potensi untuk Malaysia dan Singapura menjadi tonggak utama bagi rantau Asia Tenggara yang lebih dinamik dan berdaya saing,” katanya.

Beliau berkata Singapura akan terus berusaha untuk mencapai situasi menang-menang dengan Malaysia termasuk meneroka peluang baharu untuk meningkatkan hubungan yang telah berakar umbi ini.

“Kita semua tahu bahawa kita memasuki dunia yang semakin berbahaya, semakin sukar diramalkan, semakin bermasalah. Dan dalam persekitaran baharu ini, kedua-dua negara kita mesti menggandakan usaha untuk bekerjasama secara rapat dan berusaha secara pragmatik untuk hasil yang positif bagi kedua-dua pihak,” kata Wong.

Wong juga mengucapkan terima kasih kepada Anwar atas jemputannya untuk melawat Malaysia dan peluang untuk mengadakan perbualan yang sangat terbuka dengannya.

Beliau mengimbas kembali bahawa Anwar adalah pemimpin luar pertama yang menelefon dan mengucapkan tahniah kepadanya apabila beliau menjadi perdana menteri Singapura bulan lepas.

Wong, 51, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Keempat Singapura pada 15 Mei, menggantikan Lee Hsien Loong yang melepaskan jawatan selepas 20 tahun memimpin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan