DUNIA > BERITA

MALAYSIA, AS SETUJU KEUTAMAAN GENCATAN SENJATA UNTUK TINDAK BALAS KEMANUSIAAN YANG BERKESAN DI GAZA

12/06/2024 08:03 PM

PUTRAJAYA, 12 Jun (Bernama) -- Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) bersetuju bahawa gencatan senjata adalah penting supaya sebarang penghantaran bantuan  kemanusiaan ke Gaza dapat dilakukan secara  berkesan,  menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Luar (Wisma Putra) , pada Rabu.   

Persetujuan itu dicapai semasa pertemuan antara Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dengan Setiausaha Negara AS Antony Blinken di luar Persidangan Peringat Tinggi: “Panggilan Untuk Bertindak: Respons Kemanusiaan Segera untuk Gaza" di Jordan.

Blinken juga telah menzahirkan sokongan Amerika Syarikat ke atas Kepusatan ASEAN dan penghargaan kepada Malaysia menyokong resolusi diusulkan Amerika Syarikat, yang diluluskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 10 Jun 2024. 

Mohamad berada di Jordan mengetuai delegasi Malaysia ke persidangan peringkat tinggi itu yang berlangsung di Pusat Konvensyen King Hussein bin Talal, Laut Mati, Jordan, pada 11 Jun. 

Persidangan Peringkat Tinggi ini telah dianjurkan oleh Jordan, Mesir dan (PBB) untuk menggembleng sokongan masyarakat antarabangsa bagi meningkatkan bantuan kemanusiaan ke Gaza.

 Sebanyak 75 perwakilan terdiri daripada Ketua-Ketua Negara/ Kerajaan dan Menteri, Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pertubuhan-Pertubuhan Antarabangsa dan pihak berkepentingan telah menyertai persidangan itu. 

Semasa persidangan itu, Mohamad mengalu-alukan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2735 (2024), yang antara lain, menyeru untuk gencatan senjata segera, kekal dan berkesan, menggesa penyaluran bantuan kemanusiaan dengan segera dan tanpa halangan, serta pembinaan semula Gaza.

Beliau juga telah menekankan agar semua pihak menyokong usaha-usaha ke arah mencapai penyelesaian damai dengan menangani punca utama konflik, iaitu pendudukan haram dan kezaliman Israel; mensabitkan akauntabiliti melalui pendekatan “reparative” ke atas Israel dan memperkasakan usaha-usaha penyampaian bantuan kemanusiaan PBB. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan