DUNIA > BERITA

TARIKAN TIKTOK PIKAT GENERASI MUDA DAN TUA DI KENYA

14/06/2024 04:05 PM

NAIROBI, 14 Jun (Bernama-Xinhua) -- Setiap Ahad, beberapa jalan di Nairobi, ibu negara Kenya serta kawasan sekitarnya, biasanya meriah dengan aktiviti yang melibatkan golongan muda.

Anak-anak muda ini biasanya mengambil gambar dalam pelbagai gaya sambil yang lain membuat sketsa dan merakam video menggunakan telefon mereka.

Gambar dan video yang diambil ini dijadikan kandungan untuk dimuat naik di pelbagai platform media sosial di negara Afrika Timur ini, terutamanya TikTok.

TikTok kini menjadi laman media sosial pilihan bagi jutaan belia Kenya, menurut Xinhua.

Mereka berduyun-duyun ke laman itu bukan sahaja untuk berkongsi kandungan mereka tetapi juga untuk menonton ciptaan individu lain yang telah menjadi "kegilaan nasional".

"TikTok adalah tempat segalanya berlaku," kata Sherily Mulwa, 21, dalam satu wawancara baru-baru ini. "Jika anda tidak berada di TikTok, anda tidak akan tahu trend atau peristiwa terkini."

Walaupun Mulwa turut mengikuti platform media sosial lain seperti Facebook dan Instagram, dia menghabiskan sebahagian besar masanya di TikTok. "Kadang-kadang sehari berlalu tanpa saya pergi ke media sosial lain, tetapi saya sentiasa berada di TikTok, memeriksa apa yang orang lain lakukan dan juga memuat naik kandungan saya," katanya.

Komuniti TikTok telah berkembang lebih pantas di Kenya berbanding mana-mana platform media sosial lain.

Ini disebabkan beberapa faktor, termasuk kemudahan untuk membuat kandungan menjadi trend lebih cepat, audiens yang besar dan kemudahan berkongsi video, menurut Bernard Mwaso dari Edell IT Solution, sebuah syarikat pemula perisian di Nairobi.

"Dengan TikTok, kandungan anda akan menjadi trend lebih cepat walaupun anda tidak mempunyai pengikut yang ramai asalkan ia menarik bagi audiens. Ini disebabkan oleh algoritma aplikasi ini berbeza dengan platform media sosial lain," katanya, sambil menambah bahawa selain itu, terdapat peluang untuk menjana wang di aplikasi ini yang menjadikannya menarik bagi rakyat Kenya.

Populariti besar TikTok muncul di Kenya pada bulan Mac apabila seorang daripada bintangnya, Brian Chira, 29, meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya.

Ribuan belia dalam lingkungan 20-an berpusu-pusu ke pengebumiannya di pinggir Nairobi, melebihi jangkaan perancang yang menjangka kira-kira 500 orang.

Melalui platform itu, peminatnya mengumpul lebih daripada 8 juta shilling (US$62,000) dalam masa singkat di Kenya.

Safaricom, syarikat telekomunikasi terkemuka Kenya, mencatatkan bahawa kira-kira 10.6 juta rakyat Kenya berumur 18 tahun ke atas menggunakan aplikasi itu.

Begitu juga, Laporan Berita Digital Reuters Institute 2023, menyatakan 54 peratus rakyat Kenya yang disampel menggunakan TikTok, peratusan tertinggi di seluruh dunia.

Tinjauan itu menyatakan rakyat Kenya menggunakan aplikasi itu untuk mengakses berita, hiburan dan berhubung antara satu sama lain.

Safaricom mencatatkan bahawa di Kenya, TikTok adalah antara aplikasi yang paling banyak diakses di Internet.

"Ia memacu purata 1.91 petabait data (satu petabait adalah 1 juta gigabait), kira-kira 15 bilion Megabit trafik, yang dikaitkan dengan populariti aplikasi ini dalam kalangan belia Kenya. Jika ini ditukar kepada jam tontonan, ia hampir 6,000 jam tontonan berterusan," kata syarikat itu dalam laporan.

Tima Ali, jurutera rangkaian teras, perancangan dan reka bentuk di Safaricom, berkata bahawa pada 2022, syarikat mencatatkan TikTok menggerakkan trafik yang besar dalam rangkaian mereka.

Beliau menjelaskan bahawa syarikat terpaksa membuat penyesuaian pada rangkaiannya untuk memenuhi jumlah yang besar dan meningkatkan pengalaman pengguna. Tetapi bukan sahaja golongan muda yang kerap menggunakan TikTok di Kenya, golongan berumur lebih 40 tahun serta ahli politik, aktivis, dan pendakwah juga merupakan antara golongan baharu yang mendapati aplikasi itu sangat berguna.

Victor Kanyara, 42, seorang paderi di Nairobi, adalah pempengaruh terbaru di aplikasi itu yang menarik ribuan penonton setiap kali dia berdakwah.

"Saya menyertai TikTok kerana kebanyakan generasi muda mengikuti aplikasi ini dan saya perlu mendekati mereka. Ini berkesan bagi saya," katanya.

-- BERNAMA-XINHUA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan