DUNIA > BERITA

KERJASAMA BRAZIL, CHINA AMAT BERHASIL - KATA NAIB PRESIDEN BRAZIL

17/06/2024 02:03 PM

BEIJING, 17 Jun (Bernama-CMG) -- Naib Presiden Brazil Geraldo Alckmin menyifatkan kerjasama antara Brazil dan China sebagai amat berhasil dan memberangsangkan.

Beliau berkata dalam tempoh 50 tahun lalu, Brazil dan China mengukuhkan hubungan dua hala sehingga menjalin perkongsian strategik komprehensif. Di arena antarabangsa pula, kedua-dua negara bersama-sama mempertahankan multilateralisme dan perdagangan bebas.

Demikian dikatakan Alckmin ketika menerima temu bual bersama Kumpulan Media China (CMG) sempena menghadiri sesi pleno Jawatankuasa Penyelarasan dan Kerjasama Peringkat Tinggi China-Brazil di Beijing pada awal Jun.

Beliau berkata tahun ini menandakan ulang tahun ke-20 penubuhan Jawatankuasa berkenaan, ia juga menyaksikan jumlah dagangan dua negara menokok sebanyak 17 kali ganda.

Beliau percaya, kerjasama kedua-dua negara yang semakin erat juga membantu untuk menjana lebih banyak peluang pekerjaan, menambah pendapatan rakyat dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara masing-masing.

Menyentuh tentang kerjasama perusahaan dua hala, Alckmin yakin semakin banyak syarikat China akan menjalankan perniagaan di Brazil pada masa akan datang.

"State Grid Corporation of China (SGCC) kini sedang membantu Brazil membina talian penghantaran kuasa elektrik sepanjang lebih 1,500 kilometer dan ia merupakan projek yang amat penting bagi Brazil," kata beliau.

Pada masa sama, menurut Alckmin, kedua-dua negara juga akan mempergiat kerjasama dalam sektor sains dan teknologi, budaya dan pelancongan.

"Sebagai contoh, dalam kerjasama aeroangkasa, China dan Brazil telah memeterai perjanjian melibatkan satelit sumber Bumi.

"Kerjasama kedua-dua negara (dalam bidang tersebut) telah dijalankan selama tiga dekad dan ia akan terus diperkasakan untuk masa yang akan datang," tambah Alckmin.

-- BERNAMA-CMG

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan