DUNIA > BERITA

INTERPOL TAHAN 219 PENJENAYAH DALAM OPERASI PEMERDAGANGAN MANUSIA

25/06/2024 11:45 AM

ISTANBUL, 25 Jun (Bernama-Anadolu) -- Operasi antipemerdagangan manusia antarabangsa utama melakukan 219 tangkapan dan mengenal pasti 1,374 mangsa yang berpotensi, termasuk 153 kanak-kanak, di 39 negara, lapor Agensi Anadolu (AA).

Operasi Global Chain, yang diketuai oleh Austria dengan kerjasama Romania, Europol, Agensi Pengawal Sempadan dan Pantai Eropah (Frontex) dan Interpol, telah dijalankan pada 3-9 Jun dengan tujuan membanteras rangkaian jenayah berisiko tinggi yang terlibat dalam eksploitasi seksual, buruh paksa dan mengemis paksa.

Operasi selama seminggu itu melibatkan polis dan pengawal sempadan dari beberapa benua dan memberi tumpuan kepada rangkaian jenayah yang terlibat dalam pemerdagangan manusia, terutamanya kanak-kanak.

Hasilnya, pihak berkuasa membuka 276 siasatan baharu dan mengenal pasti 362 suspek tambahan. Mereka juga merampas 2,074 aset jenayah termasuk wang tunai dan peralatan serta mengesan 363 dokumen palsu, menurut laporan Interpol.

Semakan terhadap pangkalan data global Interpol menghasilkan 12 padanan, termasuk dua individu yang dikehendaki di bawah notis merah Interpol.

"Operasi seperti Global Chain menunjukkan bahawa tiada negara atau benua yang kebal terhadap pemerdagangan manusia dan eksploitasi. Sama ada dilakukan oleh ahli keluarga atau kumpulan jenayah terancang, kesannya terhadap mangsa sangat dahsyat.

"Sebagai komuniti penguatkuasaan undang-undang global, kami komited untuk berkongsi maklumat penting bagi membawa pelaku ke muka pengadilan," kata Richard Chambers, pengarah jenayah terancang Interpol.

-- BERNAMA-ANADOLU



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan