DUNIA > BERITA

MALAYSIA, KOREA SELATAN ADAKAN RUNDINGAN DUA HALA

28/06/2024 07:22 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Malaysia dan Korea Selatan mengadakan Mesyuarat Rundingan Dua Hala ke-9 Korea-Malaysia di Putrajaya pada Rabu (26 Jun), menurut Kedutaan Korea Selatan di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Dalam satu kenyataan, kedutaan itu memaklumkan mesyuarat berkenaan dihadiri oleh Naib Menteri Luar I Korea Selatan Kim Hong Kyun dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

Kim berada di Malaysia untuk lawatan selama empat hari bermula 24 Jun.

“Mereka bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu termasuk hubungan dua hala Korea-Malaysia, ekonomi, kerjasama pertahanan, tenaga dan alam sekitar serta kerjasama serantau dan antarabangsa,” kata kenyataan itu.

Kedutaan itu berkata kedua-dua pihak menilai kemajuan besar dalam pelbagai bidang hubungan dua hala sejak kedua-dua negara menjalin hubungan diplomatik pada tahun 1960.

“Mereka bersetuju untuk terus mengukuhkan hubungan dua hala melalui pertukaran peringkat tinggi dan kerjasama  dalam pelbagai bidang berdasarkan kerjasama yang diperkukuh melalui mesyuarat peringkat tinggi yang aktif tahun lepas, seperti Sidang Kemuncak Korea-Malaysia yang diadakan pada Sept 2023, dan dua mesyuarat Menteri Luar yang diadakan pada Mei dan November 2023,” katanya.

Kedutaan itu berkata Kim mengalu-alukan penyambungan semula rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) antara kedua-dua negara baru-baru ini dan mencadangkan untuk memperluaskan kerjasama ekonomi yang saling menguntungkan dalam bidang seperti rantaian bekalan, makanan halal dan infrastruktur.

Dalam reaksinya, Amran mengalu-alukan pengembangan pelaburan syarikat-syarikat Korea di Malaysia dan menyatakan komitmen berterusan kerajaan untuk mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif.

Kim dan Amran bersetuju untuk terus bekerjasama dalam bidang industri pertahanan, kata kedutaan itu.

Menurut kedutaan, kerjasama dua hala dalam bidang pertahanan dan industri persenjataan difasilitasi oleh pengenalan jet pejuang Korea (FA-50) oleh Malaysia tahun lepas.

Malaysia menandatangani kontrak untuk 18 jet FA-50 bernilai kira-kira US$920 juta pada Mei 2023.

Mereka juga bertukar-tukar pendapat mengenai kerjasama dua hala dalam bidang tenaga boleh diperbaharui seperti penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) dan hidrogen hijau.

Mengenai situasi di Asia Barat, Kim melahirkan kebimbangan yang mendalam terhadap krisis kemanusiaan yang berterusan di Gaza, termasuk operasi ketenteraan Israel yang baru-baru ini berhampiran Rafah.

Kedutaan itu berkata beliau juga menyatakan bahawa kerajaan Korea Selatan percaya adalah penting untuk semua pihak segera menerima dan melaksanakan cadangan gencatan senjata yang dicadangkan oleh Amerika Syarikat pada 31 Mei, yang telah dialu-alukan oleh Seoul.

Selain itu, beliau menyebut bahawa kerajaan Korea Selatan telah menawarkan bantuan kemanusiaan sebanyak US$10 juta untuk membantu orang awam yang terjejas dan akan mempertimbangkan untuk memberikan bantuan tambahan.

Naib Menteri Luar itu juga menyebut bahawa Korea Selatan telah menyokong resolusi PBB yang akan membuka jalan bagi keahlian penuh untuk Palestin dengan harapan untuk "penyelesaian dua negara".

Mengenai ASEAN, Kim menyatakan harapan untuk kejayaan Malaysia menjadi pengerusi ASEAN pada 2025 dan meminta kerjasama Malaysia untuk melaksanakan 'Perkongsian Strategik Komprehensif Korea-ASEAN,' yang dijangka ditubuhkan tahun ini.

Kedutaan itu berkata Kim dan Amran bersetuju untuk bekerjasama rapat bagi memastikan kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak APEC pada 2025 oleh Korea Selatan.

Semasa lawatan itu, Kim mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan bertemu dengan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin untuk bertukar-tukar pandangan antara lain, hubungan dua hala serta kerjasama serantau dan antarabangsa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan