DUNIA > BERITA

DIALOG MEJA BULAT MEDIA CHINA-NEGARA ANGGOTA SCO DIADAKAN DI ASTANA

04/07/2024 03:52 PM

ASTANA, 4 Julai (Bernama-CMG) -- Badan media berperanan sebagai penyiar, peneraju dan pencatat yang penting sepanjang proses pertukaran kebudayaan antara pelbagai negara dan menimba ilmu dari tamadun yang berlainan.

Demikian dinyatakan oleh Presiden CMG, Shen Haixiong ketika menyampaikan ucapan dalam Dialog Meja Bulat Media China-Negara anggota SCO anjuran Kumpulan Media China (CMG) yang dirasmikan di sini pada 3 Julai, iaitu pada saat menjelang sidang ke-24 Majlis Ketua-Ketua Negara Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) yang diadakan hari ini.

Shen turut mencadangkan tiga perkara, iaitu menambah elemen inovasi ke dalam penyiaran media bagi menceritakan kisah SCO dengan baik, menyeru warga media memikul tanggungjawab untuk bersama-sama membina ekosistem media yang adil, objektif, positif dan sihat dalam senario global dan mendorong pertukaran dan pembelajaran antara China dan pelbagai negara SCO lain melalui peningkatan kerjasama dalam bidang media.

"CMG mahu mengambil kesempatan ini terus menyemarakkan 'Semangat Shanghai', mendorong SCO mencapai lonjakan baharu dalam perkembangannya sekali gus menyumbang kepada pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan," tambah beliau.

Naib Menteri Kebudayaan dan Maklumat Kazakhstan, Kanat Iskakov dalam ucapannya pula menyatakan harapan agar melalui dialog itu, rakan media dari pelbagai negara anggota SCO dapat menjalin hubungan kerjasama yang lebih erat yang dipercayai kondusif bagi peningkatan interaksi dalam pembelajaran antara tamadun yang berlainan.

Selepas "Inisiatif Memperkasakan Kerjasama Praktikal antara CMG dengan Media Negara SCO" dikeluarkan dalam aktiviti dialog tersebut, turut dimulakan mekanisme kerjasama "Perkongsian Eurasia" yang menumpukan kepada kerjasama menyeluruh di pelbagai peringkat membabitkan perkongsian berita, pertukaran program, penghasilan dan penyiaran bersama, latihan media, pertukaran keanggotaan dan sebagainya.

Turut hadir, pegawai kerajaan dan petugas badan media arus perdana dari pelbagai negara anggota SCO.

Para peserta dalam sesi perbincangan yang bertajuk "Warga Media Berintegriti Menyemarakkan 'Semangat Shanghai”, telah memuji pencapaian China dan pelbagai negara SCO dalam kerjasama media dan berharap agar kerjasama itu dapat terus diperkasakan pada masa depan, di samping berganding bahu mendorong pembinaan komuniti berkongsi nasib SCO yang lebih padu.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan