DUNIA > BERITA

CADANGAN RANGKAIAN MEDIA ASEAN-CHINA TEPAT UNTUK TANGANI BERITA PALSU, LAPORAN BERAT SEBELAH

04/07/2024 04:48 PM

Oleh Linda Khoo

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Cadangan rangkaian media ASEAN-China merupakan inisiatif yang terpuji dan tepat pada masanya untuk memerangi penyebaran berita palsu dan laporan berat sebelah di samping memupuk literasi media di seluruh Asia Tenggara dan China.

Wilson Lee Flores, kolumnis untuk "The Philippine Star," percaya rangkaian itu berpotensi untuk mengukuhkan hubungan antara ASEAN dan China, seterusnya mempromosikan keamanan, kestabilan dan pertumbuhan ekonomi serantau.

“Rangkaian ini boleh memainkan peranan penting dalam menangani cabaran yang timbul akibat penyebaran berita palsu dan laporan berat sebelah. Melalui inisiatif semakan fakta bersama, ia dapat memastikan ketepatan maklumat yang dikongsi.

Ia juga boleh mempromosikan literasi media dengan berkongsi amalan terbaik dan sumber pendidikan, sekali gus melengkapkan orang ramai untuk mengenal pasti sumber berita yang boleh dipercayai.

“Dengan mewujudkan saluran komunikasi yang mantap, rangkaian ini akan memudahkan pertukaran maklumat tepat pada masanya, membantu menangani maklumat salah dan mewujudkan persekitaran media yang lebih dipercayai dan telus,” katanya kepada Bernama.

Dengan meningkatkan aliran maklumat yang tepat, Flores yang juga merupakan kolumnis untuk tabloid berbahasa Filipina "Abante," berkata rangkaian itu boleh meningkatkan pemahaman bersama dan mengurangkan salah faham, seterusnya memupuk persekitaran serantau yang lebih bekerjasama.

“Ia juga boleh meningkatkan daya saing global media ASEAN dan China, membolehkan mereka mencapai dan melibatkan khalayak yang lebih luas di seluruh dunia dengan pelbagai berita, analisis dan perspektif.

“Dengan memanfaatkan populasi dan kekuatan ekonomi yang besar di kedua-dua rantau ini, rangkaian ini boleh memainkan peranan penting dalam membentuk komuniti ASEAN-China yang lebih bersepadu dan berinformasi, menyumbang kepada kemajuan dan kestabilan serantau dan global yang lebih luas,” katanya.

Pusat ASEAN-China (ACC), yang ditubuhkan bersama oleh semua 10 negara ASEAN dan China, bekerjasama dengan Kumpulan Komunikasi Antarabangsa China (CICG) -- sebuah organisasi penerbitan bahasa asing yang komprehensif dan profesional -- melancarkan Inisiatif ASEAN-China mengenai "Memajukan Pertukaran Sesama Rakyat Melalui Kerjasama Media" semasa Forum Kerjasama Media ASEAN-China di bandar Dezhou, Wilayah Shandong baru-baru ini.

Antara inisiatif lain, ia termasuk penubuhan rangkaian kerjasama media ASEAN-China untuk mempromosikan pertukaran media yang lebih erat dan pemahaman bersama serta memudahkan perkongsian maklumat dan kerjasama praktikal antara kedua-dua pihak.

Apabila ditanya mengenai keadaan semasa kerjasama media antara ASEAN dan China, Flores berkata ia berada pada "trajektori menaik" menyaksikan kerjasama yang semakin meningkat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Katanya, kemajuan itu difasilitasi oleh hubungan diplomatik dan ekonomi yang umumnya kukuh antara kedua-dua rantau, di samping kemajuan pesat dalam media massa dan teknologi.

“Masih terdapat potensi besar untuk mengukuhkan kerjasama itu, terutamanya memandangkan persekitaran media yang sentiasa berkembang dan permintaan yang semakin meningkat untuk komunikasi rentas serantau,” katanya.

Flores berkata pengukuhan kerjasama media dengan China menawarkan pelbagai manfaat untuk negara ASEAN.

“Ia boleh meningkatkan kerjasama ekonomi dengan mempertingkatkan hubungan perdagangan dan mempromosikan pelancongan. Selain itu, ia memupuk pertukaran budaya dan pemahaman bersama, yang penting untuk keamanan dan keharmonian serantau.

"Kerjasama media yang berkesan boleh merapatkan jurang persepsi, memupuk hubungan sesama rakyat dan menyumbang kepada kestabilan dan kemakmuran serantau dengan mewujudkan masyarakat yang lebih bermaklumat dan bersatu padu.”

Sementara itu, Supachai Wuthichuwong, wartawan dari Manager Media Group, Thailand, berkata kerjasama media antara ASEAN dan China akan membawa kepada maklumat yang menyeluruh dan pemahaman yang lebih baik mengenai 11 negara berkenaan.

“Maklumat yang menyeluruh boleh mengurangkan provokasi emosi dan boleh membantu meredakan konflik; pertukaran antara satu sama lain akan membina pemahaman antara rakyat, mencipta literasi media dan membantu menangani maklumat salah,” katanya.

Beliau berkata laporan yang seimbang menjadi lebih kritikal apabila ketegangan global meningkat dan konflik meletus di seluruh dunia.

Oleh itu, katanya, media yang aktif mencari maklumat daripada pelbagai sumber adalah penting untuk mendapatkan pemahaman yang komprehensif mengenai situasi yang kompleks dan membolehkan pembuatan keputusan yang tepat.

Pada masa ini, Supachai berkata profesional media menghadapi pelbagai cabaran berikutan kemunculan teknologi baharu, platform media sosial dan operasi maklumat canggih daripada pelbagai pihak.

Cabaran ini sangat signifikan ketika melaporkan mengenai kuasa yang semakin meningkat seperti China. Bagaimanapun, kerjasama media boleh menawarkan penyelesaian, katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan