DUNIA > BERITA

PESAWAT UNITED AIRLINES SELAMAT MENDARAT DI DENVER SELEPAS RODA TERCABUT SEMASA BERLEPAS

10/07/2024 07:56 AM

LOS ANGELES, 9 Julai (Bernama-UPI) -- United Airlines berkata ia sedang menyiasat bagaimana roda pesawat Boeing 757-200 tercabut semasa berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles pada Isnin sebelum mendarat dengan selamat di Denver, lapor United Press International (UPI).

Penerbangan United 1001 yang membawa 174 penumpang dan tujuh anak kapal, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Denver tanpa sebarang insiden selepas melakukan pendaratan kecemasan.

Kru telah menemukan roda yang tercabut dari bahagian belakang pesawat di Los Angeles.

Juruterbang lain menghubungi kawalan trafik udara untuk memaklumkan bahawa roda pesawat itu bergolek di landasan selepas pesawat United berlepas.

Ini merupakan kali kedua dalam tahun ini penerbangan United Airlines berhadapan dengan masalah tayar tercabut.

Pada Mac, tayar pesawat Boeing 777 United tercabut semasa berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco ke Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles.

Walaupun pesawat itu mendarat dengan selamat di Los Angeles, tayar yang tercabut itu merosakkan banyak kenderaan di tempat letak kereta di San Francisco.

--BERNAMA-UPI


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan