DUNIA > BERITA

VIETNAM, MALAYSIA PROMOSI KERJASAMA PERDAGANGAN DUA HALA

10/07/2024 12:56 PM

HANOI, 10 Julai (Bernama-VNA) -- Menteri Perindustrian dan Perdagangan Vietnam, Nguyen Hong Dien dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz pada Selasa menegaskan komitmen untuk memperkukuh dan mempromosikan hubungan perdagangan dua hala antara Vietnam dan Malaysia semasa pertemuan mereka di Hanoi.

Kedua-dua menteri itu juga mempengerusikan bersama mesyuarat keempat Jawatankuasa Perdagangan Bersama Vietnam-Malaysia, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).

Pada mesyuarat itu, Dien mengesahkan bahawa Malaysia merupakan rakan kongsi penting bagi Vietnam, terutama dalam bidang perdagangan dan pelaburan dengan semakin banyak syarikat Malaysia melabur di negara itu.

Beliau turut membuat beberapa cadangan untuk mempromosikan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara.

Pada akhir mesyuarat, kedua-dua menteri menandatangani kenyataan bersama hasil mesyuarat keempat Jawatankuasa Perdagangan Bersama Vietnam-Malaysia.

Pada 8 Jun lalu, mesyuarat jawatankuasa teknikal telah berlangsung di Hanoi. Semasa mesyuarat itu, kedua-dua pihak berpuas hati dengan perkembangan dan pencapaian dalam kerjasama ekonomi, saintifik dan teknikal antara kedua-dua negara.

Hanoi-Kuala Lumpur menegaskan komitmen bagi pelaksanaan yang berkesan terhadap perjanjian yang dicapai selepas lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Vietnam pada 20 hingga 21 Julai 2023 lalu, terutamanya dalam mempromosikan perdagangan, pelaburan dan memperkukuh hubungan ekonomi membabitkan bidang kepentingan bersama.

Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk bekerjasama mencapai sasaran nilai perdagangan dua hala sebanyak US$18 bilion secepat mungkin dengan mewujudkan lebih banyak keadaan yang menggalakkan produk dan perkhidmatan kedua-dua negara, termasuk produk Halal bagi menembusi pasaran pengguna di Vietnam dan Malaysia.

-- BERNAMA-VNA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan