DUNIA > BERITA

MENTERI LUAR II BRUNEI LAWAT MALAYSIA BAGI PERKUKUH HUBUNGAN

12/07/2024 12:15 PM

PUTRAJAYA, 12 Julai (Bernama) -- Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II Brunei, Datuk Seri Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof mengadakan lawatan kerja ke Malaysia dari 10 hingga 12 Julai 2024 bersempena Mesyuarat Ketiga Jawatankuasa Bersama Persempadanan Darat Malaysia-Negara Brunei Darussalam (LBC-3).

Ketika lawatan itu, Erywan dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin telah mempengerusikan bersama Mesyuarat LBC-3 pada Khamis, menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra) pada Jumaat.

“Kedua-dua pihak telah mengiktiraf perkembangan positif dan pencapaian penting dalam kerjasama sempadan hasil daripada kerja-kerja penandaan dan pengukuran yang telah dilaksanakan selama ini.

“Lawatan itu juga memperlihatkan hubungan istimewa antara Malaysia dan Brunei serta menjadi persediaan kepada Rundingan Pemimpin Tahunan Ke-25, yang dijadualkan berlangsung pada Ogos 2024 di Bandar Seri Begawan,” menurut Wisma Putra.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Brunei ke Malaysia menghoskan majlis makan malam pada Khamis sempena meraikan ulang tahun ke-40 penubuhan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara dengan Erywan dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan selaku tetamu kerhormat.

Semasa majlis makan malam berkenaan, kedua-dua Menteri menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh hubungan dua hala demi manfaat bersama.

Pada 2023, Brunei merupakan rakan dagangan keenam terbesar Malaysia dalam kalangan negara ASEAN, dengan jumlah dagangan berjumlah US$2.04 bilion (RM9.31 bilion).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan