DUNIA > BERITA

BIDEN TEKAD SELESAIKAN PERJANJIAN GENCATAN SENJATA GAZA DAN ‘TAMATKAN PERANG’

12/07/2024 12:23 PM

WASHINGTON, 12 Julai (Bernama-Anadolu) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden pada Khamis berazam untuk menjadi perantara menamatkan perang berterusan Israel ke atas Semenanjung Gaza yang telah mengakibatkan kematian lebih 38,000 rakyat Palestin setakat ini, lapor Agensi Anadolu.

Bercakap kepada pemberita pada akhir sidang kemuncak pemimpin-pemimpin Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Biden berkata bahawa Israel dan Hamas telah bersetuju mengenai perjanjian "rangka kerja," dengan perunding kini sedang berusaha memuktamadkan butirannya.

"Ini adalah isu yang sukar dan kompleks. Masih ada jurang yang perlu ditangani. Kami sedang membuat kemajuan ke arah itu. Trendnya positif. Saya berazam untuk menyelesaikan perjanjian ini dan menamatkan perang yang sepatutnya berakhir sekarang," katanya di Pusat Konvensyen Walter E. Washington.

Menyentuh mengenai usaha AS untuk menyelesaikan masalah penghantaran bantuan dengan membina jeti sementara di pantai Gaza, Biden meluahkan kekecewaannya atas kegagalan usaha itu dan berharap ia akan berjaya.

Jeti sementara itu siap sepenuhnya pada 17 Mei, tetapi Penasihat Keselamatan Negara Jake Sullivan mengumumkan pada Khamis bahawa semua operasi akan dihentikan selepas beberapa masalah dan ketidakupayaan berterusan untuk menyampaikan bantuan kepada rakyat Palestin.

"Saya menjangkakan dalam masa terdekat, kami akan menamatkan operasi jeti. Isu sebenar bukan tentang membawa bantuan ke Gaza.

“Ia adalah tentang menyampaikan bantuan ke sekitar Gaza dengan berkesan," kata Sullivan kepada wartawan di sidang kemuncak NATO.

Sejak jeti itu beroperasi pada 17 Mei lalu, lebih 8,100 tan metrik bantuan kemanusiaan telah dihantar dari kemudahan itu ke kawasan pengumpulan, bertujuan untuk dikumpulkan oleh organisasi kemanusiaan bagi penghantaran dan pengedaran seterusnya, menurut Pentagon.

Kebanyakan bantuan itu mungkin dikumpul semula dan dibawa pergi akibat gagal diedarkan.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan