DUNIA > BERITA

TURKIYE TIDAK LULUSKAN KERJASAMA DENGAN ISRAEL DALAM NATO - ERDOGAN

12/07/2024 12:32 PM

WASHINGTON, 12 Julai (Bernama-Anadolu) -- Cubaan untuk bekerjasama dengan Israel dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) adalah "tidak boleh diterima," kata Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan pada Khamis.

"Pentadbiran Israel yang telah melanggar nilai asas pakatan ini tidak boleh terus bekerjasama dengan NATO," kata Erdogan dalam satu sidang media di Washington selepas menghadiri sidang kemuncak pemimpin-pemimpin NATO.

Pakatan pertahanan itu terdiri daripada 32 anggota dan mengekalkan hubungan dengan banyak negara bukan anggota serta organisasi antarabangsa.

Erdogan menekankan kekejaman Israel di wilayah Palestin yang diduduki terutamanya di Gaza semasa perbincangan di luar sidang kemuncak itu.

" Cubaan kerjasama dengan Israel dalam NATO tidak akan diluluskan oleh Turkiye, sehingga perdamaian dapat diwujudkan di Palestin.

"Adalah penting anggota masyarakat antarabangsa berganding bahu terhadap penyelesaian dua negara antara Israel dan Palestin berdasarkan garis sempadan 1967," katanya.

Erdogan juga menzahirkan kegembiraannya bahawa semakin banyak negara mengiktiraf Palestin dan menggesa negara-negara lain mengemukakan aduan terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Erdogan turut menekankan keperluan untuk memperkukuh kerjasama antara sekutu NATO dalam memerangi keganasan.

Ankara mengharapkan solidariti daripada sekutunya dalam memerangi keganasan, satu daripada dua ancaman utama yang dikenal pasti oleh NATO, kata Erdogan

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan