DUNIA > BERITA

218 ANGGOTA SDF, BIROKRAT PERTAHANAN DIKENAKAN TINDAKAN DISIPLIN ATAS SKANDAL

12/07/2024 07:30 PM

TOKYO, 12 Julai (Bernama-Kyodo) -- Kementerian Pertahanan Jepun pada Jumaat berkata ia telah mengenakan tindakan disiplin terhadap 218 anggota Angkatan Pertahanan Diri (SDF) dan birokrat kanan berhubung beberapa isu termasuk penyalahgunaan maklumat sulit serta makan dan minum di kafeteria pangkalan tanpa membayar, lapor agensi berita Kyodo.

Individu yang dikenakan tindakan disiplin itu juga dituduh menyalahgunakan kuasa. Antara mereka, 11 dipecat, dua diturunkan pangkat, 83 digantung kerja, 14 dikenakan pemotongan gaji dan tujuh diberikan teguran rasmi. Selebihnya hanya diberikan nasihat atau amaran.

Dengan skandal yang kebanyakannya melibatkan Angkatan Pertahanan Diri Maritim (MSDF), Laksamana Ryo Sakai, Ketua Staf MSDF akan meletakkan jawatan pada 19 Julai untuk mengambil tanggungjawab. Beliau akan digantikan oleh Laksamana Madya Akira Saito.

Sakai sendiri dikenakan pemotongan gaji kerana gagal mengawal dan mengawasi mereka yang berada di bawahnya, manakala yang lain seperti Naib Menteri Pertahanan Kazuo Masuda dan Jeneral Yoshihide Yoshida, Ketua Staf Bersama kementerian, juga diberikan teguran.

Bercakap kepada pemberita, Sakai berkata: "Saya rasa punca utama adalah kekurangan pematuhan dalam kalangan tentera dan kemampuan tadbir urus dalam organisasi."

Pendedahan ini menimbulkan kebimbangan awam terhadap kementerian dan SDF pada masa Jepun sedang meningkatkan kemampuan pertahanannya dengan meningkatkan perbelanjaan awam di tengah-tengah cabaran keselamatan yang semakin serius ditimbulkan oleh China, Korea Utara dan Rusia.

Menteri Pertahanan Minoru Kihara berkata dalam satu sidang akhbar, beliau amat sedar tentang tanggungjawab digalasnya. 

Beliau memohon maaf ketika mengumumkan tindakan disiplin itu dan berjanji akan mengembalikan gajinya selama sebulan sebagai seorang Menteri Kabinet.

Sementara itu, Kihara yang memegang jawatan sekarang sejak September 2023, menafikan akan meletak jawatan sebagai Menteri Pertahanan Jepun dan berjanji untuk "membangunkan semula organisasi kami di bawah kepimpinan saya untuk memulihkan kepercayaan orang awam" terhadap kementerian dan SDF.

Beberapa jam sebelum pengumuman itu, Perdana Menteri Fumio Kishida memohon maaf atas sebarang kebimbangan yang ditimbulkan dalam kalangan orang awam.

Selepas menghadiri sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Washington, beliau memberitahu pemberita di Amerika Syarikat bahawa beliau berharap Kihara akan terus melaksanakan tugasnya.

Anak kapal di beberapa kapal pemusnah MSDF didakwa berkongsi maklumat sulit dengan menugaskan rakan sekerja yang tidak layak untuk merekod pergerakan kapal tanpa mengesahkan mereka mempunyai kuasa untuk berbuat demikian.

Kecuaian serupa dalam pengendalian maklumat juga ditemukan dalam pasukan pertahanan darat dan udara, serta Pejabat Staf Bersama yang bertanggungjawab menyepadukan operasi ketiga-tiga cabang SDF.

-- BERNAMA-KYODO


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan